fbpx

Peniaga ditahan guna pelekat Sirim tiruan pada topi keledar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengkuat kuasa KPDN dan Sirim melakukan pemeriksaan di sebuah kedai menjual alat ganti motosikal dan topi keledar di Temerloh semalam.

TEMERLOH – Membeli topi keledar murah dan menampal pelekat keselamatan Sirim tiruan sebelum dijual dengan harga tinggi seolah-olah topi keledar ‘original’.

Itu yang yang dilakukan peniaga sebuah premis menjual topi keledar di Temerloh yang mengaut keuntungan berganda dengan menipu pengguna malah menggadai keselamatan pengguna.

Bagaimanapun taktik yang dilakukan itu berjaya dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNHEP) yang melakukan serbuan ke atas premis menjual alat ganti motosikal dan topi keledar itu semalam.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDN Temerloh, Abdul Razak Yahaya berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas sejumlah topi keledar yang menggunakan pelekat keselamatan Sirim palsu bernilai kira-kira RM1,620.

“Susulan operasi yang dijalankan itu anggota Penguat kuasa KPDN, seorang lelaki tempatan berusia 63 tahun ditahan untuk siasatan lanjut dan topi keledar yang disyaki menggunakan pelekat keselamatan Sirim tiruan juga dirampas.

“Berdasarkan maklumat awal, pihak premis memperolehi stok topi keledar tersebut dari Kuala Kangsar, Perak dengan harga yang murah dan kemudiannya menjual di bandar ini dengan harga yang tinggi,” katanya di sini hari ini.

Menurut Abdul Razak kes itu disiasat mengikut Seksyen 16(1) Akta Perihal Dagangan 2011 dan siasatan giat dilakukan.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan dan akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang kepada mana-mana individu atau peniaga yang melanggar peraturan ditetapkan termasuk menjual barangan dengan pelekat tiruan.

Katanya, mana-mana pihak yang melakukan kesalahan tersebut bakal berdepan dengan tindakan dan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan bagi syarikat pula denda sehingga RM25,000 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

“KPDN menyeru kepada semua pengguna untuk mendapatkan barangan yang berkualiti lebih-lebih lagi bagi barangan yang melibatkan keselamatan diri sendiri dalam penggunaan seharian.

“Sekiranya pengguna mengesyaki adanya unsur-unsur penipuan yang dilakukan oleh peniaga yang tidak beretika, pengguna boleh membuat aduan melalui [email protected] atau menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800 atau menghubungi pejabat KPDN terdekat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI