ALOR SETAR – Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menyifatkan tindakan kerajaan mengapungkan harga ayam bermula hari ini sebagai terlalu drastik dan tidak bersesuaian dengan waktunya.
Kata Pengerusinya, Mohamad Yusrizal Yusoff, tindakan itu dikhuatiri mengakibatkan kenaikan harga barang mentah itu di pasaran ekoran permintaan yang dijangka tinggi menjelang musim perayaan seperti
Hari Deepavali dan cuti sekolah hujung tahun ini.
“Langkah kerajaan terlalu drastik dan dilihat tidak bersedia untuk pastikan kestabilan harga ayam. Kerisauan pengguna apabila harga ayam diapungkan, harga barang akan naik sedikit demi sedikit.
“Beberapa hari lagi akan tiba Deepavali, jadi sudah satu kebiasaan dalam hukum pasaran apabila permintaan tinggi harga ayam akan turut tinggi. Kita jangka pesta kenaikan harga ayam berlaku dan pengguna lain akan menerima kesannya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Sehubungan itu, katanya, kementerian terlibat termasuk agensi di bawahnya perlu bersedia untuk memperkasakan pemantauan berkaitan untuk memastikan kenaikan itu adalah munasabah.
“Cake menerima banyak aduan daripada peniaga kecil dan sederhana bahawa kuasa membeli dalam kalangan pengguna semakin kecil setelah kenaikan harga beras import. Adakah bila berlaku kenaikan harga ayam nanti, perkara sama berlaku?
“Banyak pengguna terutama yang bekerja tidak ada peluang masak dan makan di rumah jadi mereka akan makan di luar sahaja. Ini akan membebankan mereka,” katanya.
Sebelum ini kerajaan mengumumkan penamatan subsidi dan harga kawalan bagi ayam sepenuhnya bermula hari ini.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, rasionalisasi daripada tindakan itu adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati oleh warga asing dan penduduk berpendapatan tinggi.
Dalam perkembangan lain, menurut penternak Mazlina Kamarudin yang juga Pengarah Urusan Ayam Bismi Sdn. Bhd. (Ayam Bismi), pihaknya sendiri melahirkan kebimbangan dengan tindakan kerajaan menamatkan subsidi ayam kerana dikhuatiri membunuh penternak kecil dan sederhana yang masih bergelut dengan kos ternakan yang tinggi.
“Kami akur dengan keputusan kerajaan, namun sesuatu yang membimbangkan adalah kesan kepada kepada penternak kecil dan sederhana kerana kos anak ayam dan dedak masih tinggi walaupun turun sikit saja.
“Apabila berlaku peningkatan kos ini dan kalau kerajaan tidak masuk campur terutama harga anak ayam yang dikuasai kartel besar, penternak kecil dan sederhana ini akan terkesan. Penternak ini akan takut masuk anak ayam di ladang, jadi pengeluaran ayam akan terjejas,” katanya.
Beliau menambah, pihaknya menjangkakan berlaku pengurangan bekalan ayam dalam tempoh sebulan ekoran tindakan penternak mengambil sikap berhati-hati untuk membawa masuk anak ayam ke ladang.
“Pengeluaran mungkin terjejas selepas November kerana selepas subsidi ditamatkan akan ada penternak yang mengurangkan kemasukan anak ayam antara 10 hingga 20 peratus ketika ini,” katanya.
Beliau pada masa sama meminta kerajaan mempertimbangkan untuk mengekalkan harga ayam tanpa kawalan itu termasuk pada musim perayaan.
“Kita mohon daripada kerajaan kalau harga diapungkan, biarlah selamanya tidak kira musim perayaan kerana penternak kecil dan sederhana ini terpaksa bersaing dengan pemain gergasi dalam sektor ini,” katanya.














