fbpx
Faktor mudah membuat pinjaman dan kemudahan kad kredit menyebabkan ada rakyat Malaysia tidak membuat tabungan kecemasan. – GAMBAR HIASAN

Mudah buat pinjaman, kad kredit punca tiada simpanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Rata-rata rakyat Malaysia bergantung de­ngan kad kredit dan pinjaman daripada institusi kewangan sehingga menyebabkan mereka gagal membuat simpanan kecemasan walaupun RM1,000.

Pakar eko­nomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, keupayaan meminjam dengan institusi kewangan walaupun terpaksa membayar semula dengan kadar faedah tinggi menyebabkan mereka tidak merasakan me­nyimpan itu sebagai satu keperluan.

“Bila mampu meminjam (buat pinjaman), maka mereka tidak fikir tentang simpanan. Hendak simpan tidak cukup tidak mengapa, sebab boleh meminjam. Bagi mereka selagi ada keupayaan meminjam jadi tidak perlukan simpanan.

“Simpanan diperlukan ha­nya apabila seseorang itu hilang pekerjaan, ditimpa kemalangan atau bersara.

“Hari ini semua meminjam daripada kelengkapan rumah, kenderaan dan apa sahaja boleh dipinjam. Umrah pun guna (wang) pinjaman,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Barjoyai secara peribadi melihat membuat pinjaman itu sebagai satu cara hidup dalam kala­ngan rakyat negara ini.

Kelmarin, Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour dilaporkan berkata, hampir separuh rakyat Malaysia sukar menyediakan RM1,000 bagi tujuan kecemasan.

Statistik Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit pula me­nunjukkan ramai yang terpaksa berhutang apabila memerlukan wang pada waktu kecemasan.

Kajian turut menunjukkan satu daripada tiga rakyat Malaysia terbeban dengan hutang, walaupun kebanyakan mereka mempunyai pendapatan yang baik.

Mengulas lanjut, Barjoyai memberitahu, desakan untuk memenuhi gaya hidup turut menyumbang kepada kesukaran rakyat Malaysia membuat simpanan selain pendapatan isi rumah rendah berbanding kos sara hidup ketika ini.

“Sebenarnya bukan golongan B40 sahaja, malah M40 pun ada yang tiada simpanan langsung. Mereka terikut-ikut gaya hidup gaya orang kelas pertengahan di media sosial dan sebagainya.

“Mahu seiring dengan orang lain (yang berkemampuan). Semua cuba tonjol mereka berjaya dan buat terbaik supaya tidak berasa rendah diri,” katanya.

Mengenai faktor pendapatan isi rumah, beliau menjelaskan, pendapatan isi rumah di Malaysia secara relatif adalah rendah berbanding kos sara hidup.

Beliau memberitahu, lebih 50 peratus pekerja di Malaysia memperoleh pendapatan bulanan RM2,000 atau ke bawah.

“Kalau 16 juta pekerja bermaksud lapan juta bergaji RM2,000 dan ke bawah. Gaji RM2,000 sebulan bagaimana untuk me­nyimpan? Garis kemiskinan pun RM2,208,” katanya.

Justeru, beliau berkata, satu perubahan dalam aspek mereformasi perspektif cara hidup dan pemikiran rakyat Malaysia berhubung pengurusan kewangan perlu dilaksanakan.

Tambahnya, cara untuk mening­katkan pendapatan isi rumah juga perlu difikirkan se­perti mengadakan projek setiap rumah seorang usahawan.

“Pada hari ini perniagaan boleh dijalankan secara dalam talian. Projek setiap rumah seorang usahawan boleh dilakukan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN