fbpx

Tukang pasang mozek dijel seumur hidup edar kanabis 1 kg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GEOK CHIN (depan) dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis empat tahun lalu.

JOHOR BAHRU – Seorang tukang pasang mozek dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan 12 sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 1,024 gram, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Noor Hayati Mat membuat keputusan itu setelah tertuduh, Teh Geok Chin, 47, menukar pengakuan kepada bersalah sewaktu sebutan kes semalam.

Mengikut pertuduhan, Geok Chin dan isterinya, Nguyen Thi Thanh Tuyen, 25, didakwa bersama-sama mengedar dadah itu di sebuah pangsapuri di Jalan Suria Muafakat 1, Larkin di sini, pada pukul 12.10 tengah malam, 18 April 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati atau jika tidak dihukum mati hendaklah dipenjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, Geok Chin ditahan ketika menaiki sebuah kenderaan Perodua Myvi di hadapan sebuah pangsapuri di Jalan Tebrau di sini, sebelum dipandu arah olehnya ke sebuah rumah yang baharu disewanya.

Ketika serbuan dilakukan di sebuah pangsapuri di Jalan Suria Muafakat 1, isteri tertuduh didapati berada di dalam rumah itu dan susulan itu kedua-dua suspek telah ditahan.

Mahkamah memerintahkan bapa seorang anak itu menjalani hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh tangkap pada 18 April 2019.

Sementara itu, isterinya yang juga warga Vietnam pula dilepas dan dibebaskan setelah pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan yang sama terhadapnya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nasrudin Mohamed manakala peguam K. Kalaichelvan mewakili kedua-dua tertuduh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI