fbpx

Cubaan dua penyamun lari dari polis gagal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERETA Perodua Myvi dinaiki dua suspek kes samun di Ipoh yang cuba melarikan diri daripada dicekup polis semalam.

TELUK INTAN – Tindakan agresif dua penjenayah tegar yang cuba melarikan diri daripada dicekup polis dengan memandu secara berbahaya hingga hampir menyeret seorang anggota gagal apabila mereka ditahan semalam.

Kenderaan jenis Perodua Myvi dinaiki suspek berusia 28 dan 31 tahun itu ditahan di Kampung Rapat, Ipoh selepas dikejar lebih 70 kilometer (KM) dari Labu Kubong, Chenderong Balai di sini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menerima maklumat samun bersenjata parang membabitkan kedua-dua suspek itu pada pukul 11.30 pagi.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ipoh telah mengekori suspek dari Ipoh menghala ke Kampung Gajah.

“Sampai di Kampung Gajah, kedua-dua suspek yang menyedari kehadiran polis telah memecut kenderaan sebelum berjaya ditahan berhampiran Masjid Labu Kubong.

“Bagaimanapun, semasa proses tangkapan dijalankan, suspek secara tiba-tiba membuat pusingan U lalu mengundurkan kereta hingga melanggar bahagian hadapan kenderaan polis,” katanya di sini hari ini.

Menurut Ahmad Adnan, pihak polis kemudiannya keluar dari kenderaan di mana seorang anggota cuba membuka pintu belakang kereta untuk membuat tangkapan namun gagal apabila suspek mengundur secara berbahaya hingga menyeret seorang anggota.

Katanya, tindakan suspek menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah hadapan cermin kereta suspek bagi mempertahankan diri.

“Suspek terus memandu kereta secara mengundur sehingga dihalang kenderaan lain. Seorang suspek yang duduk di bahagian belakang telah keluar dan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

“Rakan suspek yang memandu kereta telah berjaya meloloskan diri sebelum dia dan kenderaan ditahan di Kampung Rapat, Ipoh,” katanya.

Ahmad Adnan memberitahu, suspek yang memandu kereta mengalami luka di bahagian bahu kanan akibat terkena tembakan dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI