fbpx

Pembayaran balik PTPTN guna potongan gaji automatik tidak bebankan peminjam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadilah (dua kiri) melihat inovasi dipamerkan pelajar pada Majlis Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara di Putrajaya tadi. Foto oleh FAISOL MUSTAPA/KOSMO!

PUTRAJAYA – Cadangan memperkenalkan kaedah pembayaran balik Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui kaedah potongan gaji secara automatik disifatkan sebagai kaedah praktikal serta tidak membebankan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kaedah disyorkan Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC) itu akan mengikut Income Contingent Loan (ICL) melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM).

“Pada masa ini, PTPTN adalah penyumbang terbesar yang memungkinkan ramai rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Namun, dengan kadar bayaran balik pinjaman yang rendah, kita bimbang dengan kelestarian PTPTN untuk jangka masa panjang.

“Sehingga Mei 2023, jumlah pinjaman yang belum dibayar berjumlah RM66.9 Bilion. Jumlah ini sekiranya dibayar, boleh membiayai kira-kira 2.5 juta orang pelajar baharu,” katanya.

Teks ucapan Anwar dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadilah Yusof pada Majlis Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara di sini tadi.

Melalui NRC, sebanyak 58 cadangan penambahbaikan utama telah dibentangkan selain disaring ketat, seterusnya dikelompokkan secara kasar kepada tujuh isu utama yang dihadapi oleh sektor pendidikan tinggi negara.

Menurutnya, pemberian insentif kepada individu dan majikan yang membuat pembayaran balik turut menggalakkan lebih ramai peminjam melaksanakan tanggungjawab mereka kepada anak bangsa yang ingin menyambung pengajian tetapi tidak berkemampuan.

“Selain itu, antara cadangan NRC iaitu memperkenalkan mekanisme baharu pembiayaan di mana Universiti Awam (UA) terikat dengan kerajaan menerusi Perjanjian Tahap Perkhidmatan atau Service Level Agreement (SLA) untuk menghasilkan pelajar dan penyelidikan berkualiti tinggi.

“Daripada model geran blok, cadangan juga ialah kerajaan ‘membayar’ kepada Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) untuk perkhidmatan pendidikan berdasarkan formula pembiayaan menerusi prestasi ini.

“Formula itu harus berdasarkan kebolehpasaran graduan, gaji siswazah, dan kualiti pendidikan. Institusi yang dapat menonjolkan prestasi baik akan diperuntukkan kos yang lebih tinggi bagi setiap pelajar,”’katanya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI