fbpx
Luka kaki diabetes lazim terjadi pada bahagian bawah kaki (bottom of the foot). – Gambar hiasan

Ulser kaki diabetes luka yang membawa mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPERTI sedia maklum, luka yang membabitkan pesakit kencing manis atau diabetes yang tidak dirawat dengan baik boleh menyebabkan komplikasi lain dan seterusnya boleh menyebabkan anggota badan seperti kaki akhirnya dipotong.

Luka diabetes juga mengambil masa yang lebih panjang untuk sembuh berbanding luka pada orang yang sihat, menyebabkan ia perlu diberi perhatian khusus.

Ulser kaki diabetes adalah luka terbuka atau luka yang timbul akibat kerosakan pada arteri dan saraf yang disebabkan oleh diabetes yang berpanjangan.

Menurut American Diabetes Association, penghidap diabetes lazimnya menghadapi masalah pada bahagian kaki.

Banyak pesakit diabetes mengalami peripheral artery disease (PAD) yang menyebabkan pengaliran darah ke kaki selain masalah neuropathy yang membuatkan para pesakit merasa seolah-olah tiada kaki. Dua keadaan inilah menjadikan kaki pesakit mudah mendapat luka atau jangkitan.

Menurut data perubatan sedia ada, terdapat kira-kira 422 juta pesakit diabetes di seluruh dunia dan ulser kaki diabetes menjejaskan hampir 15 peratus daripada mereka.

Ulser kaki diabetes meningkat seiring usia, malah komplikasinya jika tidak dirawat boleh menimbulkan komplikasi lain.

Fakta juga menunjukkan bahawa 70 peratus kes amputasi kaki adalah berpunca daripada luka diabetes atau luka-luka yang berkaitan dengannya.

Bagi memberi lebih kefahaman dan kesedaran tentang kepentingan perawatan luka secara umum dan penekanan terhadap perawatan luka pesakit kencing manis, satu persidangan selama tiga hari Wound Busters: The Legacy telah diadakan di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Selangor pada 6 hingga 8 Oktober lalu.

Dianjurkan oleh Pertubuhan Penjagaan Luka Malaysia (MSCWP) yang merupakan perintis negara dalam segmen penjagaan luka, persidangan itu juga menjadi platform MSCWP untuk secara rasminya menubuhkan Yayasan Penyembuhan Luka Antarabangsa (IWHF).

IWHF merupakan inisiatif di bawah MSCWP dengan hasrat untuk membolehkan setiap individu berpotensi menjalani kehidupan yang berkualiti tanpa dibebani dengan masalah emosi dan fizikal yang diakibatkan oleh luka.

Sepanjang persidangan itu berlangsung, pakar-pakar meliputi doktor dan pengamal perubatan dari 50 buah negara mengadakan pameran, bengkel dan simposium berkaitan perawatan luka secara holistik.

Antara negara terlibat ialah United Kingdom, Itali, Switzerland, Portugal dan banyak lagi.

IWHF merupakan inisiatif di bawah MSCWP dengan hasrat untuk membolehkan setiap individu berpotensi jalani kehidupan yang berkualiti tanpa dibebani masalah emosi dan fizikal akibat luka.
– GAMBAR HIASAN

Sebanyak 88 buah booth dibuka bersempena persidangan itu, menjadikan ia antara persidangan penjagaan luka terbesar di Asia Tenggara.

Pengerusi Pertubuhan MSCWP, Profesor Dr. Harikrishna K.R. Nair berkata, penjagaan luka merupakan sebahagian besar daripada sistem penjagaan kesihatan umum.

“Spektrum pesakit juga terdiri daripada kanak-kanak sehingga warga emas, manakala perawatan luka juga adalah membabitkan luka trauma dan juga luka pembedahan sehingga luka kronik seperti ulser dan diabetik.

“Justeru, pendekatan holistik dan menyeluruh amat diperlukan membabitkan pelbagai disiplin seperti pembedahan, ortopedik, perubatan dan juga rehabilitasi.

“Persidangan yang diadakan ini memberi tumpuan terhadap luka diabetik memandangkan ia merupakan luka yang paling banyak terjadi di peringkat antarabangsa dengan morbiditi dan jumlah kematian tertinggi,” katanya.

Beliau menambah, setiap 20 saat, terdapat satu kaki yang dipotong atau diamputasi di dunia dan ini adalah sesuatu yang membimbangkan.

Malah, Malaysia juga mempunyai jumlah pesakit diabetes yang amat tinggi yang mana seramai 20 peratus individu berusia 18 tahun dan ke atas menghidap diabetes.

“Kami menyasarkan untuk mencegah amputasi kaki melibatkan kes-kes yang mana perkara itu boleh dielak. Hal ini kerana luka yang berlaku akibat diabetes boleh menjadi sesuatu yang membebankan terutamanya apabila ia bernanah dalam tempoh yang lama,” tuturnya.

Menerusi persidangan itu juga, pihak penganjur turut menyimpulkan tentang langkah perawatan luka pesakit diabetes yang betul seperti membersihkannya dengan segera, mengurangkan tekanan pada bahagian yang luka, menjaga pemakanan dan nutrisi harian pesakit diabetes, menjaga kadar gula dalam darah dan juga sentiasa memantau tanda-tanda jangkitan pada luka.

Antara tanda jangkitan yang paling biasa berlaku pada luka diabetes seperti rasa sakit pada bahagian luka, bengkak, demam dan juga luka yang berair atau bernanah.

Sebagai sebuah organisasi perubatan, MSCWP telah melakukan pelbagai usaha sejak 12 tahun lalu dalam merawat dan mencegah amputasi dengan mengadakan bengkel dan persidangan berkenaan perawatan luka.

Selain itu, MSCWP turut membuat penjagaan kesihatan secara percuma kepada kumpulan pesakit B40.

“Kami juga mengedarkan pembalut luka yang boleh digunakan di rumah sejak 12 tahun lalu yang berjumlah RM2 juta, selain kempen-kempen kesedaran dan maklumat online berkenaan perawatan luka menerusi platform yang dikenali sebagai e-luka,” jelasnya.

Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Azman Yacob turut menghargai usaha MSCWP yang bekerja keras memberi kesedaran terhadap perawatan luka yang betul dan melihat organisasi itu sebagai hero.

“Sebagai sebuah negara kelas kedua, kita sudah banyak menambah baik sistem kesihatan negara.

“Justeru, adalah penting untuk kita sentiasa mempersiapkan diri dengan ilmu daripada pelbagai bidang dalam merawat luka.

“Saya difahamkan, persidangan kali ini melibatkan hampir 4,000 delegasi dan pakar dari 50 buah negara untuk sama-sama berkongsi pengetahuan melibatkan perawatan luka di peringkat global,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN