fbpx

Pestabola Merdeka: Polis senarai 10 barang larangan masuk ke stadium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Poster perlawanan akhir Pestabola Merdeka yang akan berlangsung di Stadium Bukit Jalil, pukul 9 malam esok.

KUALA LUMPUR – Polis menyenaraikan lebih 10 barang larangan dibawa masuk ke dalam stadium bagi aksi perlawanan akhir Pestabola Merdeka menentang Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil, pukul 9 malam esok.

Perlawanan itu dijangka dihadiri 45,000 penyokong pasukan bertanding yang akan mula memasuki stadium bermula pukul 6 petang.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam, pihak polis membuat persiapan rapi melibatkan pelbagai jabatan dan unit dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan tubuh badan, beg serta barangan akan dilakukan di setiap pintu masuk dan juga selepas memasuki pekarangan stadium.

“Berikut adalah senarai barang terlarang yang tidak dibenarkan untuk dibawa masuk ke dalam stadium iaitu mercun, bunga api, suar, topi keledar, laser pen, sebarang objek tajam dan minuman keras.

“Selain itu, payung atau tongkat, powerbank, botol air, pemetik api serta rokok atau rokok elektronik turut dilarang.

“PDRM tidak akan bertanggungjawab terhadap barang larangan yang telah dirampas semasa pemeriksaan di pintu masuk ataupun dalam kawasan perkarangan stadium,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihak polis juga akan memastikan aliran trafik di sekitar stadium berjalan lancar bagi memudahkan pergerakan orang ramai.

Katanya, untuk kelancaran lalu lintas, orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan pengangkutan awam ke SNBJ selain elakkan melalui jalan di sekitar stadium jika tidak bertujuan menonton perlawanan itu.

Beliau turut meminta orang ramai mematuhi arahan daripada anggota polis bertugas selain tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan.

“Tindakan saman dan tunda akan diambil ke atas kenderaan yang menghalang lalu lintas. Pengguna jalan raya dinasihati supaya mengamalkan sikap bersabar, berhemah dan bertolak-ansur semasa memandu kenderaan. Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur hanya berperanan mengatur pergerakan lalu lintas di sekitar stadium,” ujarnya.

Dalam masa sama, orang ramai dinasihatkan untuk menjaga serta tidak melakukan sebarang provokasi melampau sehingga boleh mencetuskan kekacauan sama ada semasa perlawanan mahu pun selepas perlawanan tersebut.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubung Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

RSS Error: A feed could not be found at `https://www.relevan.com.my/feed`; the status code is `404` and content-type is `text/html; charset=iso-8859-1`