fbpx
ANTARA fesyen menarik yang diperagakan dalam pertunjukan fesyen My Gaya Month di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Peraga fesyen tanda sokong barangan Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MALAYSIA sememangnya banyak melahirkan bakat-bakat besar dalam bidang fesyen yang bukan sahaja terkenal di negara ini, malah turut berjaya menempa nama sehingga ke peringkat antarabangsa.

Justeru, sebagai salah satu usaha meraikan bakat-bakat baharu dalam industri fesyen, satu pertunjukan fesyen dilancarkan baru-baru ini di pusat beli-belah Fahrenheit 88 di Kuala Lumpur.

My Gaya Month adalah acara tahunan yang meraikan kreativiti dan kesenian Malaysia sambil mempromosikan jenama dan bakat tempatan. Ia dianjurkan oleh Persatuan Pereka Bumiputra Malaysia (MBDA) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Kos Sara Hidup (KPDN).

Acara pertunjukan fesyen yang berlangsung pada 10 September lalu itu dianjurkan oleh MBDA bagi menyokong Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2023 di bawah anjuran bersama KPDN.

Ia menghimpunkan rekaan menarik oleh 31 pereka fesyen yang mewakili peneraju fesyen di Malaysia.

Antara jenama yang terlibat ialah Izwani, Elham Echenta, Ghadeez, Awear, Lady Qomash dan juga rekaan para pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan juga pelajar jurusan fesyen Management and Science University (MSU).

Pereka-pereka ini berpeluang memperagakan koleksi mereka di pentas MGM 2023 yang mana acara tersebut mengetengahkan kreativiti, kesenian dan hasil kerja tangan serta kepelbagaian idea yang memperlihat landskap dan identiti fesyen di Malaysia.

Presiden MBDA, Rasta Rashid berkata, acara tahunan itu bermatlamat memberi tumpuan kepada produk dan jenama Malaysia, khususnya bagi rangkaian produk fesyen meliputi baju dan juga aksesori.

“My Gaya Month adalah satu acara fesyen dan gaya hidup tahunan yang diadakan di Fahrenheit88 Kuala Lumpur.

“Ia adalah kerjasama dengan KPDN yang mana ia memainkan peranan penting dalam menumbuhkan bakat tempatan sambil memupuk rasa patriotisme yang mendalam.

“Sepanjang acara itu berlangsung, orang ramai boleh membeli pelbagai produk fesyen termasuk pakaian batik sedia pakai, pakaian streetwear yang trendy dan banyak lagi pakaian gaya hidup lain yang dijual di ruang lobi utama pusat beli-belah ini,” katanya.

KBBM dilaksanakan bagi mencapai objektifnya iaitu untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap barangan dan perkhidmatan buatan Malaysia serta merangsang pertumbuhan ekonomi domestik dengan meningkatkan pembelian barangan tempatan.

Malah, objektif pelancarannya juga adalah bagi mengangkat segmen atau industri lain untuk diketengahkan dalam membantu usahawan tempatan memasarkan produk barangan Malaysia.

Tambah Rasta, acara itu juga merupakan satu festival kreativiti dan kemahiran Malaysia yang meraikan pereka fesyen, usahawan dan peminat fesyen dari pelbagai lapisan masyarakat.

Selain peragaan, My Gaya Month turut memberikan impak kepada seluruh ekosistem industri fesyen dan gaya hidup dengan menyediakan platform bagi peragawan dan peragawati, jurusolek, penata rambut, dan profesional industri lain untuk mempamerkan bakat mereka kepada umum menerusi kerjasama dalam program ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN