PUTRAJAYA – Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun berakhir 31 Disember lalu diselenggarakan dengan teratur dan kemas.
Menurut Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi, ia menunjukkan satu gambaran yang benar dan saksama tentang kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan pada tahun tersebut.
Katanya, Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Tanpa Teguran dengan perenggan Hal-hal Lain telah dikeluarkan.
Jelas kenyataan itu, hasil Kerajaan Persekutuan berjumlah RM294.357 bilion, iaitu peningkatan RM60.605 bilion atau 25.9 peratus berbanding pda 2021 iaitu RM233.752 bilion.
“Peruntukan muktamad perbelanjaan mengurus yang diluluskan ialah RM236.966 bilion, manakala perbelanjaan mengurus RM292.693 bilion dan lebihan hasil sebanyak RM1.664 bilion telah dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembangunan menjadikan perbelanjaan mengurus sebenar pada tahun 2022 berjumlah RM294.357 bilion.
“Perbelanjaan pemberian dan kenaan bayaran tetap merupakan perbelanjaan tertinggi iaitu RM170.243 bilion atau 57.8 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan mengurus,” katanya dalam kenyataan selepas pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) di Parlimen hari ini.
LKAN dibentangkan di Dewan Rakyat pada hari ini, setelah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong pada 26 September lalu terdiri daripada 15 naskah melibatkan dua peringkat persekutuan iaitu Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2022 dan Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan Tahun 2021.
Manakala 13 naskhah LKAN peringkat negeri, iaitu Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri serta Pengauditan Pematuhan Kementerian, Jabatan dan Agensi Negeri Tahun 2022.
Tambah kenyataan itu, perbelanjaan pembangunan kementerian dan jabatan Persekutuan yang telah dibelanjakan berjumlah RM71.574 bilion atau 104.5 peratus berbanding peruntukan diluluskan, termasuk perbelanjaan pembangunan RM6.068 bilion yang dikenakan dalam tempoh Akaun Kena Bayar.
Bagi Perbelanjaan Kumpulan Wang Covid-19 pada tahun 2022 berjumlah RM30.979 bilion dengan perbelanjaan tertinggi melibatkan Program Sokongan Bantuan Sosial untuk Golongan Mudah Terjejas (RM9.043 bilion), Program Bantuan Prihatin Nasional (RM7.910 bilion).
“Program Diskaun Bil Elektrik (RM5.876 bilion), Program Subsidi Upah, Insentif Pengekalan Pekerjaan dan Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan (RM2.323 bilion) dan Program Peruntukan bagi Perbelanjaan Berkaitan Covid-19 (RM1.848 bilion),” ujarnya.
Kerajaan Persekutuan terus berada dalam kedudukan defisit berjumlah RM99.482 bilion dengan nisbah 5.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2022 manakala Hutang Persekutuan pada akhir tahun 2022 adalah RM1,079.591 bilion, iaitu meningkat RM99.777 bilion atau 10.2 peratus.
Kedudukan Liabiliti Persekutuan berjumlah RM1.399 trilion, iaitu meningkat sebanyak RM94.116 bilion atau 7.2 peratus(2021: RM1.305 trilion) menyaksikan nisbah Liabiliti Persekutuan kepada KDNK adalah 78.1 peratus, iaitu menurun berbanding 84.3 peratus pada tahun 2021.
Kenyataan itu berkata, setakat 31 Disember tahun lalu, sebanyak 141 penyata kewangan telah siap diaudit dan dikeluarkan Sijil Ketua Audit Negara manakala empat penyata kewangan masih dalam proses pengauditan.
“Daripada 141 penyata kewangan tersebut, 102 penyata kewangan telah diberikan Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Tanpa Teguran, 21 penyata kewangan telah diberikan Pendapat Tanpa Teguran dengan perenggan Penegasan Perkara dan 18 penyata kewangan telah diberikan Pendapat Berteguran.
“Pengauditan pematuhan turut dijalankan terhadap lapan Agensi Persekutuan melibatkan sejumlah 13 isu yang dibangkitkan.
“Setakat 9 Oktober tahun ini, sebanyak empat isu (31 peratus) telah selesai manakala sembilan isu (69 peratus) sedang dalam tindakan agensi Persekutuan berkenaan. Antara isu berbangkit termasuk pembayaran tidak teratur, kehilangan hasil dan isu pengurusan signifikan,” katanya.
LKAN mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2022 dan LKAN Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan Tahun 2021 akan dimuat naik di Laman Web Jabatan Audit Negara di http://www.audit.gov.my – KOSMO! ONLINE