MENYERTAI program sekolah seperti kem bina diri merupakan antara aktiviti yang sering dilakukan Adam (bukan nama sebenar) sewaktu usia remaja.
Aktif dalam aktiviti kokurikulum, pemuda berasal dari Jeli, Kelantan itu memberitahu, terdapat satu aktiviti yang paling memberi kesan kepada dirinya sepanjang terlibat dalam program sekolah.
Katanya, ia merupakan kem perkhemahan pengakap di Hutan Rekreasi, Ulu Bendul, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
“Pada awalnya, saya teruja dengan program ini kerana ia sebuah kem besar yang melibatkan ahli pengakap di sekitar Asia Tenggara.
“Bagaimanapun, keterujaan itu berubah menjadi sebuah pengalaman ngeri.
“Ini kerana, semasa saya menjalani kem tersebut terdapat beberapa insiden menyeramkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Tambahnya, insiden menyeramkan itu berlaku pada hari pertama berada di sana dan Adam mengakui, dia sedikit nakal semasa di kem tersebut.
Mendapat tapak khemah berdekatan pasukan dari Indonesia, anak keempat daripada enam beradik itu mahu mengenakan (prank) ahli pengakap negara jiran itu dengan menakut-nakutkan mereka pada waktu malam.
Adam berpakat dengan rakan-rakan lain mahu menakutkan mereka dengan menjadi hantu pocong dan melompat berdekatan khemah pasukan Indonesia.
“Kami mahu bergurau sahaja. Pada awalnya, pegawai kem ada berpesan supaya tidak melakukan hal yang ‘aneh-aneh’ kerana kami berada di kawasan hutan.
“Namun, jiwa masih muda ketika itu, kami tidak mengendahkan nasihat diberikan dan senyap-senyap melakukan perkara tersebut pada waktu malam,” ujarnya.
Cerita Adam lagi, tepat pukul 1 pagi ketika semua orang sudah tidur, dia dan rakan-rakan bersiap untuk membuat ‘prank’ berkenaan.
Adam memutuskan untuk menjadi hantu pocong dengan memakai cadar putih yang dibawa dari rumah untuk melilit badannya.
Dibantu rakan ketika bersiap, dia dipapah ke kawasan tapak khemah pasukan Indonesia.
“Saya berdiri di sebatang pokok dekat khemah negara jiran itu.
“Sementara itu, rakan-rakan lain cuba membuat pasukan Indonesia keluar dari khemah dengan membuat bising seolah ada binatang liar mengacau tempat mereka.
“Umpan kami menjadi, ada seorang ahli kadet yang keluar dari khemah.
“Jadi, saya terus melakukan aksi dengan meloncat keluar dari belakang pokok.
“Kadet itu terkejut melihat saya hingga menjerit dan lari masuk ke dalam khemah.
“Pada masa sama, saya tergamam ketika berdiri di situ.
“Ini kerana, semasa melihat ke arah hutan berdekatan terdapat satu lagi sosok putih yang memerhati saya dari jauh,” kongsinya.
Jelas Adam lagi, hal itu membuatkan dia merinding.
Semasa Adam memalingkan muka seketika sebelum kembali melihat sosok itu, dia dapati jaraknya semakin mendekat.
Katanya lagi, apa dilihatnya itu adalah pocong lain yang sangat menakutkan.
Jelasnya, kain kapan pocong itu lusuh dengan kesan tanah serta wajah amatlah menyeramkan.
Adam yang ketika itu mula berasa takut terus pengsan.
Selepas itu, dia tidak sedar akan apa yang berlaku sehingga terjaga semula pada keesokan harinya.
“Kawan saya beritahu, saya seolah-olah dirasuk pada malam itu. Semasa saya meloncat, saya terkaku dan tiba-tiba rebah.
“Semasa mereka mendekati, saya mulai meracau seperti orang disampuk.
“Mereka terus memanggil pegawai yang juga seorang ustaz.
“Ustaz mengubati saya, sebelum saya pengsan sehingga waktu pagi,” jelasnya.
Hal itu menjadi pengajaran buat Adam bahawa dia tidak sepatutnya melakukan perkara aneh ketika berada di dalam hutan.














