fbpx

Modul sekolah model khas B40, miskin tegar ditambah baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FADHLINA Sidek (duduk tengah) mendengar pertanyaan daripada pelajar sekolah pada sesi libat urus hala tuju sekolah kawasan tanah rancangan Felda di Sekolah Kebangsaan Felda Chemomoi di Bentong hari ini.

BENTONG – Kementerian Pendidikan sedang menambahbaik modul sekolah model khas dalam usaha merealisasikan sekolah yang merangkumi segmen golongan B40 dan miskin tegar di negara ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelaksanaan sekolah tersebut dilihat signifikan dalam membantu melonjakkan pencapaian anak-anak daripada golongan berkenaan.

“Pahang kita ada modul khas khusus yang kita sebut K9, K11 dan untuk anak-anak orang asli, kita melihat satu lagi model khas yang telah pun ada cuma nak ‘upgrade’ lagi apabila kita melihat kepada segmen-segmen macam B40 yang miskin tegar.

“Bagi kami sedikit masa, beberapa segmen diberi perhatian khususnya sekolah model khas,”katanya ketika berucap pada sesi libat urus hala tuju sekolah kawasan tanah rancangan Felda di Sekolah Kebangsaan Felda Chemomoi di sini hari ini.

Menurutnya pelaksanaan sekolah model khas itu penting bagi memberi tumpuan membantu dan melonjakkan pencapaian anak-anak dalam pelbagai bidang termasuk akademik, potensi dan bakat.

Katanya, pelaksanaan sekolah model khas segmen B40 dan miskin tegar itu adalah tambahan kepada Sekolah Model Khas Komprehensif 9 tahun (K9) dan 11 tahun (K11) yang sudah pun dilaksanakan sebelum ini.

Program K9 adalah untuk memastikan anak-anak tidak tercicir daripada darjah satu hingga tingkatan tiga manakala K11 akan memastikan anak-anak akan terus berada di sekolah daripada darjah satu hingga tingkatan lima.

Dalam pada itu beliau memberi jaminan, pihak kementerian akan memastikan tiada mana-mana pelajar yang dipinggirkan dalam arus pendidikan negara sama ada di bandar, luar bandar atau di kawasan tanah rancangan Felda.

Katanya, isu infrastruktur juga akan dipastikan dapat disediakan kepada semua pelajar bagi memastikan mereka dapat belajar dengan baik dan mencapai kecemerlangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI