fbpx
IKMAL AMRY

Ikmal Amry lelah pura-pura peramah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUDAH menjadi tanggungjawab anak seni perlu tampil siap dan ramah bersemuka dengan ramai orang, namun perkara tersebut barangkali sukar buat individu berpersonaliti introvert.

Perkara sama dialami pelakon tampan, Ikmal Amry yang mengakui masih mempunyai rasa kekok dan sukar menyesuaikan diri ketika bergaul depan khalayak umum dek keperibadiannya yang pendiam sejak azali.

Bukan mudah, namun sifat introvert yang sekian lama terbenam dalam diri pemilik nama penuh Mohd Zulikmal Amry Ghazali itu sekuatnya dikawal demi masa depan karier.

Berasa diperhatikan baik secara realiti mahupun dalam media sosial, Ikmal sedar, itulah harga yang harus dibayar sebagai insan bernama selebriti.

Justeru, dia sedaya upaya melawan sifat introvert itu terutama ketika di set penggambaran mahupun menghadiri sebarang acara hiburan.

MENGAKUI adakala penat menolak sifat pendiam yang menebal sejak azali demi kerjaya, Ikmal memastikan rehat yang cukup bersama keluarga setiap kali selesai penggambaran.

Lawan sifat introvert

Baginya, melawan sahajalah taktik yang mampu diaplikasikan demi memastikan kualiti kerjanya setara dengan apa yang dimahukan pengarah sekali gus tidak menjejaskan periuk nasinya.

“Saya memang pendiam, boleh kata sangat introvert, namun saya faham sebagai figura umum, saya kena lawan sifat itu.

“Bayangkan setiap babak yang saya lakukan buat tangan berpeluh, jantung berdegup laju, tapi saya suka buat perkara yang bukan diri saya, luar daripada kebiasaan.

“Kalau saya tak lawan, apa lagi saya kena lakukan? Itu kerjaya saya, tanggungjawab saya sebagai pelakon dan model.

Kalau tak buat, bagaimana nak sara keluarga saya?” ujarnya serius.

Bagaimanapun, aktor berusia 29 tahun itu dapat menarik nafas lega apabila mengetahui ramai sebenarnya pelakon berpengaruh berdepan isu sama.

Lantas, setiap kali berkongsi pengalaman dengan individu terutama pelakon lain yang introvert, dia tidak sendirian dan perlu menolak ke tepi perasaan segan dan malu yang menebal dalam dirinya

“Ramai saja pelakon macam saya pun, antaranya Hafreez Adam. Saya pernah jalani penggambaran bersamanya. Saya ingat, saya paling introvert, bila jumpa yang lebih kritikal, rupa-rupanya tahap saya boleh tahan lagi kerana mampu berbual.

“Saya introvert bila kena pegang mikrofon. Bila kena buat hal yang saya tak boleh buat, itu memang akan buat saya takut.

“Tapi sekarang, bila jumpa orang yang asing, saya akan cuba selesakan diri. Dulu-dulu saya tak boleh sangat dan akan berpeluh-peluh,” tuturnya panjang lebar.

SEDAR sudah beristeri dan bergelar bapa, Ikmal memastikan pergaulannya, terutama bersama pelakon gandingan di lokasi tetap ada batasan walaupun digandingankan sebagai hero heroin.

Cari ruang berehat

Hakikat sebagai manusia, sekuat mana menolak rasa yang sememangkan berakar dalam diri, Ikmal mengakui adakalanya tewas sehingga sifat pendiam bagaikan memakan tenaganya baik mental mahupun emosi.

Jelas anak jati Masjid Tanah, Melaka itu, keperluan untuk sentiasa mencipta personaliti ramah sedangkan dirinya bukan agak melelahkan sehingga sampai ke satu tahap perlu melupakan soal kerja.

Katanya, mujurlah ada keluarga kecilnya sebagai sistem sokongan yang sentiasa menjadi penguat semangat meneruskan hidup sebagai pelakon.

“Bila kita asyik tolak sifat introvert, mental dan emosi akan penat sampai satu tahap yang saya tak boleh berlakon sebab rasa penat dengan diri sendiri.

“Misalnya jika saya berdepan dengan banyak masalah, saya akan cuti dua atau tiga bulan.

“Saya tak mahu paksa diri. Kalau tidak, saya akan buat tidak sepatutnya dan tak ambil serius dan kerja main-main.

MENGGALAS watak Sham dalam From Saga With Love, Ikmal sebenarnya perlu menghafal dialog bahasa Jepun dan berguru dengan penterjemah supaya percakapannya kelihatan semula jadi.

“Saya banyak habiskan masa dengan keluarga, balik kampung, tak ambil tawaran penggambaran,” ujarnya lagi.

Bergelar pelakon dan suami, Ikmal menzahirkan kesyukuran kerana dikurniakan pasangan hidup yang sentiasa memahami tugasnya.

Sebagai timbal balik, suami kepada pempengaruh Najla Shamsul Kamar itu sentiasa menjaga batas dengan pelakon mahupun gandingan heroin.

“Dia bahkan sedaya upaya memastikan statusnya yang sudah berkeluarga juga turut dihormati.

Bagi dirinya, sudah menjadi kelaziman untuknya memaklumkan hal itu kepada orang yang dia bekerja.

“Secara peribadi, saya cuma bawa diri macam biasa. Cara pergaulan dengan gandingan pelakon yang tak ada beza.

“Cuma, kami perlu saling menghormati sesama sendiri, kena tahu batas,” katanya yang kini hangat menerusi naskhah romantik komedi Viu Original, From Saga With Love arahan Umi Salwana Omar.

SELAIN Ikmal, drama From Saga With Love turut dijayakan Siti Khadijah, Sophia Albarakbah, Fimie Don, Vanidah Imran dan Sharifah Amani.

Seronok jadi orang Jepun

Diberi tanggungjawab menggalas watak sebagai Sham yang cukup arif tentang budaya Jepun, secara peribadinya memberi kesan mendalam buat aktor tinggi lampai.

Dia menyifatkan watak yang dijayakannya sangat bermakna kerana banyak pengalaman pertama kali dapat ditimba sepanjang proses penggambaran.

“Kebanyakan yang saya buat dalam cerita ini adalah kali pertama termasuk pertama kali pergi ke Jepun, penggambaran di luar negara, belajar bahasa Jepun dan kebudayaan orang luar.

“Jujurnya, saya macam kena kejutan budaya apabila berada di negara orang, orang Jepun cukup patuh dengan masa, mahu atau tidak, kita kena ikut cara mereka.

“Perkara itu memberikan impak positif kepada saya untuk menjadi seorang pelakon yang patuh masa, jaga tutur kata dan apabila saya balik Malaysia, saya terbawa-bawa hal itu, seronok jadi orang Jepun,” tuturnya tersenyum.

Dituntut berdialog bahasa Jepun, juga menjadi tugas mencabar kerana perlu memastikan pertuturannya nampak semula jadi dan tidak dibuat-buat.

“Sebelum penggambaran, saya akan berlatih bercakap sampai sebutan jadi sempurna.

Ada penterjemah yang akan dengar bahasa Jepun saya. Bila dia cakap lulus, kemudian barulah saya teruskan penggambaran.

“Sewaktu penggambaran, itu peranan sayalah untuk tambah emosi, faham dan dalami maksud bahasa itu.

“Cabaran di situlah. Nak hafal senang sebab saya pun suka hafal lagu.

“Tapi bila nak fahamkan itu agak susah sedikitlah,” jelasnya menutup bicara.

Selain Ikmal, drama From Saga With Love turut dijayakan Siti Khadijah, Sophia Albarakbah, Fimie Don, Vanidah Imran dan Sharifah Amani.

MEMPUNYAI sifat introvert tidak menjadi satu penghalang untuk Ikmal memberikan lakonan berkualiti. – FARIZWAN HASBULLAH & INSTAGRAM IKMAL AMRY
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN