fbpx

Hakim arah saman pemula Tommy terhadap STF didengar menerusi bicara sivil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tommy Thomas.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan supaya saman pemula yang dikemukakan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas terhadap Pasukan Petugas Khas (STF) dan Kerajaan Malaysia supaya dipindahkan dan diputuskan menerusi perbicaraan saman sivil.

Saman pemula itu adalah berhubung laporan siasatan mengenai kandungan memoirnya yang bertajuk ‘My Story: Justice In the Wilderness’, di mana Thomas memohon perisytiharan bahawa dokumen laporan berkenaan tidak sah dan bertentangan undang-undang.

Hari ini sepatutnya, Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan sama ada permohonan STF dan kerajaan untuk membenarkan atau membatalkan permohonan saman pemula itu.

Bagaimanapun dalam keputusannya, hakim itu berkata beliau tidak akan membuat sebarang keputusan mengenai keperlembagaan atau kesahihan STF kerana ia perlu dibincangkan di mahkamah sivil.

“Tetapi saya mengarahkan supaya saman pemula (OS) ini ditukar kepada saman sivil untuk didengar dan diputuskan dalam perbicaraan penuh. Saya akan mendapatkan arahan daripada hakim pengurusan,yang mana saman pemula ini akan dipindahkan kerana ia akan didengar oleh bahagian sivil,” katanya.

Tommy selaku plaintif memfailkan saman pemula pada 27 Oktober tahun lalu dengan memohon perisytiharan bahawa laporan bertajuk ‘Laporan Pasukan Petugas Khas – Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk “My Story: Justice In The Wilderness’ adalah dokumen tidak sah dan bertentangan undang-undang.

Beliau yang berkhidmat selaku Peguam Negara antara Jun 2018 dan Februari 2020, menamakan pengerusi dan ahli STF serta Kerajaan Malaysia selaku defendan.

Mereka adalah Pengerusi Datuk Seri JC Fong dan ahlinya Datuk Seri Hashim Paijan, Datuk Dr Junaidah Kamarruddin, Datuk Jagjit Singh Bant Singh, Datuk Shaharudin Ali, K Balaguru, Farah Adura Hamidi, dan Najib Suri.

Tommy turut memohon perisytiharan bahawa STF adalah badan tidak sah dan tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk melaksanakan fungsi yang diberikan oleh kerajaan.

Selain itu, turut dipohon adalah perisytiharan bahawa penerbitan laporan itu oleh kerajaan melanggar hak beliau seperti yang dilindungi oleh Perkara 5(1) (kebebasan asasi ) dan 13(1) Perlembagaan Persekutuan.

Laporan STF yang dinyahklasifikasikan kerajaan pada 13 Oktober tahun lalu antara lain mengesyorkan supaya bekas Peguam Negara itu disiasat atas kemungkinan pelbagai kesalahan telah dilakukannya.

Ia ialah antara tiga syor pasukan berkenaan dalam laporan siasatannya yang kini boleh diakses secara terbuka melalui laman sesawang rasmi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Pasukan khas itu juga mencadangkan empat langkah yang perlu diambil kerajaan bagi menangkis persepsi umum terhadap campur tangan eksekutif dalam badan kehakiman atau kekurangan kebebasan kehakiman.

Langkah itu termasuk pindaan ke atas Seksyen 5(f) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 bagi membolehkan pelantikan empat individu yang dihormati dalam JAC, dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Ketua Hakim Negara.

Begitu juga, Jabatan Peguam Negara perlu dipisahkan daripada Pendakwa Raya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI