fbpx

Bakal jemaah haji tolak subsidi faham konsep istita’ah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na'im (dua dari kiri) menyampaikan Sumbangan Bantuan Musibah Ribut pada program Rahmah Madani di Dewan Putra, SMK Bandar Baru Putra, Ipoh hari ini. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA / KOSMO!

IPOH – Tindakan 400 jemaah dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah atau B40 menolak tawaran menunaikan haji tahun ini meskipun layak menerima bantuan bersasar, menunjukkan mereka memahami konsep istita’ah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar berkata, kefahaman terhadap konsep kemampuan dalam menunaikan Rukun Islam kelima itu dijangka mendorong lebih ramai bakal jemaah Haji menolak subsidi berkenaan.

Katanya, mereka yang menolak subsidi itu bukan bermaksud memberi giliran kepada orang lain sebaliknya menyedari kemampuan untuk menanggung keseluruhan kos menunaikan ibadah tersebut.

“Di sini peranan dilakukan Tabung Haji (TH) iaitu memberikan pencerahan dan penjelasan kepada masyarakat Islam khususnya kepada pendeposit tentang prinsip dan falsafah mengenai konsep istita’ah sebab asas kemampuan ini diambil daripada ayat al-Quran.

“Ini yang kita cuba uar-uarkan tetapi sekiranya mereka benar-benar tidak ada kemampuan, giliran pula sudah sampai tetapi duit tidak cukup, maka di situlah saya nampak ada Tabung Haji untuk membantu mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Rahmah Madani Bersama Mangsa Bencana Ribut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Putra di sini hari ini.

Terdahulu, seramai 400 jemaah B40 yang layak menerima bantuan bersasar menunaikan haji tahun ini dilaporkan menolak tawaran itu atas faktor kemampuan menunaikan rukun Islam kelima itu.

Sementara itu, mengenai Program Rahmah Madani, Mohd. Na’im berkata, sebanyak RM255,000 sumbangan diagihkan kepada seramai 89 ketua isi rumah yang terjejas akibat bencana ribut yang berlaku pada 16 September lalu.

Katanya, sumbangan itu membabitkan peruntukan daripada Tabung Musaadah yang diuruskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Wakaf Malaysia, Yayasan Taqwa Majlis Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM). – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI