fbpx
Gambar Hiasan

Bajet 2024 perlu bantu pembeli rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AKHBAR ini baru-baru ini me­laporkan, krisis pasaran harta­nah di China mencetuskan kebimbangan ramai.

Menurut Biro Perangkaan Kebangsaan China, setakat akhir Ogos lalu, jumlah keseluruhan luas rumah tidak terjual (overhang) di negara itu mencecah 648 juta persegi.

Dianggarkan terdapat seba­nyak 7.2 juta rumah overhang di sana sekiranya saiz purata setiap unit adalah 90 meter persegi.

Di Malaysia meskipun kea­daan tidak seteruk itu, jumlah rumah siap tidak dijual setakat Jun lalu masih agak membimbangkan, iaitu melibatkan 26,286 unit, dengan nilai keseluruhan RM18.3 bilion menurut Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta. Di Johor sahaja, terdapat 4,717 unit rumah overhang bernilai RM4 bilion.

Hampir separuh daripada kediaman overhang di negara ini berharga lebih RM500,000 seunit.

Pada masa sama, minat rak­yat untuk membeli rumah sebenarnya tidak pernah berkurang, walaupun dalam cabaran ekonomi sekarang, berdasarkan Kajian Sentimen Pengguna (CCS) bagi separuh tahun kedua 2023.

Lebih separuh (56 peratus) daripada responden yang ditemu bual menyatakan mereka berminat untuk memasuki pasaran hartanah kediaman dalam tempoh setahun akan datang, berbanding 55 peratus dalam tinjauan sama yang dilakukan sebelum ini.

Tinjauan oleh PropertyGuru Malaysia itu mendapati, harga hartanah yang tinggi dan kenaikan kadar faedah adalah dua halangan utama bakal pembeli.

Sebanyak 50 peratus ­responden, terutamanya daripada demografi lebih muda dan berpendapatan rendah sangat bergantung kepada sokongan kerajaan untuk membeli rumah.

Selain itu, 46 peratus ­responden menyatakan berdepan cabaran berterusan dalam mendapatkan pembia­yaan untuk skim perumahan mampu milik.

Dengan ketersediaan banyak bekalan rumah di pasaran dan ramai pula orang berminat untuk membeli, pembentangan Bajet 2024 yang dijadualkan pada 13 Oktober ini dilihat wajar campur tangan bagi membantu kedua-dua belah pihak baik syarikat hartanah mahu pun pembeli.

Pengasas dan Pengarah Urusan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berharap kerajaan dapat memperkenalkan langkah tambahan bagi membantu pembeli rumah kali pertama dalam bajet kali ini, khususnya dari segi pembiayaan.

Katanya, antara langkah yang dilihat mampu menghasilkan impak ialah dengan menghidupkan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC), kerana insentif diberikan di bawah kempen ini terbukti penting dalam membantu pembelian rumah seperti pengecualian duti setem 100 peratus untuk hartanah yang berharga daripada RM300,001 kepada RM1 juta.

“Kerajaan juga boleh memperkenalkan Geran Pembeli Rumah Kali Pertama sebanyak RM30,000 untuk hartanah berharga hingga RM500,000 dan/atau mengaktifkan semula program Skim MyHome kepada mereka yang layak.

“Selain itu, kerajaan juga disaran memperkenalkan pakej pembiayaan berkadar tetap lebih rendah untuk pembeli rumah kali pertama, untuk hartanah berharga sehingga RM500,000.

“Kami juga mencadangkan pembiayaan secara berperingkat diperkenalkan bagi memboleh­kan pembeli berpendapatan sederhana beroleh lebih banyak masa untuk memperbaiki tahap pendapatan mereka dalam tempoh beberapa tahun pertama pemilikan rumah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN