fbpx

35 tahun tabur khidmat, Mat Kasim tinggalkan PDRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mat Kasim pada majlis paluan berundur beliau di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Keadaan hujan renyai mengiringi paluan berundur Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim yang bersara hari ini.

Selepas 35 tahun menabur khidmat setia kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), majlis paluan berundur beliau diadakan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Turut hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Mat Kasim yang dilahirkan pada 5 Mei 1964, memulakan kerjaya dalam PDRM sebagai Kadet Penolong Penguasa Polis (C/ASP) pada 28 Feb 1988 dengan menjalani latihan asas di Pulapol.

Kemudian, anak kelahiran Kuantan, Pahang itu mendirikan rumah tangga bersama Datin Seri Hayati Dali dan dikurniakan tiga cahaya mata terdiri daripada dua lelaki dan seorang perempuan.

Berdasarkan kepada kredibiliti, pengalaman dan kepakaran yang dimiliki, Mat Kasim telah memegang pelbagai jawatan termasuk sebagai Komandan Maktab Teknik PDRM Bakri, Johor pada 2016, Timbalan Pengarah Teknikal Operasi Jabatan Logistik dan Teknologi pada tahun 2017.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kedah (2018), Ketua Polis Melaka (2019), Timbalan Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman (2020) sebelum dilantik ke jawatan terakhirnya sebagai Pengarah JSPT pada September 2021.

Sebagai menghargai bakti ditabur Mat Kasim, graduan lulusan Sains Komputer dari Universiti Teknologi Mara itu turut dikurniakan dengan pelbagai anugerah termasuk Darjah Kebesaran Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang, Darjah Kebesaran Pangkat Pertama Panglima Gagah Pasukan Polis dan Panglima Setia Pasukan Polis.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI