fbpx

Dua suspek utama ditahan kes penemuan tiga mayat dalam rumah kedai 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua suspek utama yang ditahan bagi membantu siasatan pembunuhan tiga warga Sri Lanka di Jalan Perhentian Kampung Kovil Hilir, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR – Dua suspek utama yang terlibat dalam kes pembunuhan kejam tiga warga Sri Lanka, di Jalan Perhentian Kampung Kovil Hilir, Sentul dekat sini Jumaat lalu, sudah ditahan pihak polis.

Kedua-dua suspek lelaki warga Sri Lanka itu dipercayai ditahan di Hulu Langat, Selangor, Isnin lalu.

Difahamkan, kedua-dua suspek ditahan sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah Sentul dengan kerjasama Kontinjen Polis Kuala Lumpur.

Menurut sumber, kedua-dua suspek ditemui ketika bersembunyi dalam hutan di sekitar Hulu Langat, Selangor.

“Kedua-dua mereka sedang direman untuk disoal siasat pihak polis bagi mengenal pasti motif kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan penahanan tersebut dan kedua-dua suspek direman tujuh hari bagi siasatan lanjut.

“Ya, kedua-dua suspek telah ditahan dan satu sidang akhbar akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan tiga mayat ditemui dalam keadaan mengaibkan selepas polis menerima panggilan berhubung pergaduhan di sebuah rumah kedai berkenaan, Jumaat lalu.

Lebih memilukan, ketiga-tiga mayat itu diletakkan dalam keadaan bertindan, diikat kaki dan tangan, manakala kepala mereka ditutup dengan plastik.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam selepas terdengar bunyi pergaduhan di kediaman tersebut pada pukul 11 malam.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian pihaknya mendapati ada sepasang warga Sri Lanka berada di rumah tersebut.

Menurut Allaudeen, tangkapan pertama dibuat melibatkan pasangan suami isteri tersebut dan mengesan dua lagi lelaki bagi membantu siasatan . – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI