fbpx

Ramai tertipu tawaran kerja tidak wujud di Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAIRUL (tengah) merasmikan Hari Keselamatan Siber Negeri Melaka di Jalan Bunga Raya, Melaka hari ini. - foto oleh SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Kes penipuan jenayah siber di negeri ini merekodkan kerugian mencecah RM30 juta dengan melibatkan 1,359 kes pelbagai penipuan dalam talian sepanjang tempoh Januari sehingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi, Teknologi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menunjukkan trend kerugian yang terus meningkat berbanding 2021 (RM20.14 juta) dan 2022 (RM26.98 juta).

Ujarnya, bagaimanapun dalam tempoh dua tahun lalu, jumlah kes tertinggi direkodkan di negeri ini adalah melibatkan penipuan tawaran kerja tidak wujud yang mencecah kerugian sebanyak RM3.4 juta pada 2022.

“Sehingga semalam, sebanyak 1,359 kes penipuan siber direkodkan di negeri ini dan jumlah ini dilihat meningkat sebanyak 250 kes berbanding tahun lalu, namun kita masih belum dapat pecahan mengikut penipuan yang berlaku.

“Namun, berdasarkan pecahan yang diperolehi bagi 2021 dan 2022, kes penipuan yang direkodkan naik secara mendadak adalah tawaran kerja tidak wujud iaitu daripada 79 kes melibatkan kerugian RM178,220 kepada 226 kes (RM3.4 juta) dan situasi ini amat membimbangkan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran Hari Keselamatan Siber negeri Melaka di Jalan Bunga Raya, di sini, hari ini.

Ujarnya, jenis penipuan siber lain yang turut direkodkan adalah Macau scam, love scam, tipu belian atas talian, pinjaman tidak wujud, tipu pelaburan dan tipu menyamar kenalan.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, susulan daripada peningkatan kes jenayah siber itu, kerajaan negeri telah menubuhkan satu pasukan tindak balas bagi menangani insiden keselamatan komputer.

“Jika insiden pencerobohan ini berlaku ke atas portal dan laman sesawang kerajaan, maka ia akan mencemarkan imej selain menganggu operasi sesuatu jabatan.

“Justeru kita melaksanakan inisiatif pencegahan termasuk menubuhkan pasukan tindak balas insiden keselamatan komputer dan melaksana penilaian postur keselamatan bagi aset-aset ICT,” katanya.

Kata Fairul, kerajaan negeri juga akan memperluaskan pelaksanaan program-program kesedaran mengenai jenayah siber melibatkan pelbagai peringkat usia bagi membantu masyarakat untuk menjadi lebih peka dan tidak mangsa penipuan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI