fbpx
Orang ramai tetap lega walaupun hanya dapat membeli sekampit beras 10kg dan terpaksa beratur panjang di Pusat Operasi FAMA Senawang, Seremban semalam. – MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

‘Lega walaupun dapat beli sekampit beras’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Orang ramai sanggup beratur sejak awal pagi bagi membeli beras putih tempatan dalam beberapa program jualan barangan keperluan yang dianjurkan pihak berwajib di beberapa lokasi di seluruh negara semalam.

Di Seremban, Negeri Sembilan, seorang pembeli, Razali Pilus, 67, dari Taman Tuanku Jaafar berasa sangat lega apabila kerajaan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengadakan jualan beras putih tempatan yang sukar ditemui pembeli di pasar raya atau kedai biasa.

Namun uajrnya, dia berasa sedikit kecewa apabila pembeli dihadkan membeli sekampit beras 10 kilogram (kg) sahaja berbanding dua bungkus seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

“Apa pun saya tetap lega ke­rana rakyat seperti saya dapat membeli beras tempatan dengan harga kawalan yang jauh lebih murah berbanding beras import di pasaran. Inisiatif ini sangat baik dan membantu semua lapisan masyarakat termasuklah pesara kerajaan seperti saya bagi menangani kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Saya harap agar inisiatif ini dapat dipergiatkan lagi dan lebih kerap bagi memberi peluang kepada lebih ramai lagi membeli beras tempatan dengan harga berpatutan,” katanya ketika ditemui di Pusat Operasi FAMA Senawang, Seremban semalam.

Razali juga berharap agar kerajaan atau kementerian berkaitan dapat mengawal harga beras import yang agak mahal.

“Kalau beli dalam kuantiti yang sedikit tidaklah terasa mahal, tapi, kalau beli banyak memang mahal. Biasanya yang beli banyak ni, mereka yang berniaga restoran dan kedai makan,” katanya.

Di Seberang Perai, Pulau Pinang, Idris Che Med, 65, memberitahu, dia sanggup beratur sejak pukul 7.30 pagi memandangkan bekalan beras tempatan di rumahnya sudah hampir habis.

Orang ramai menyerbu sebuah lori membawa bekalan beras di Seberang Perai semalam.

Warga emas dari Permatang Kerai Kecil itu menjadi individu pertama yang beratur untuk membeli sekampit beras tempatan 10kg pada program Jualan Beras Putih Tempatan dan Agro Madani di Pertubuhan Peladang Kawasan Pokok Sena yang bermula pukul 9 pagi semalam.

Katanya, selepas mengetahui program terbabit akan berlangsung semalam, dia sudah bersiap sedia awal pagi.

“Sejak dua minggu lalu, susah sungguh mahu beli beras dan biasanya saya akan beli dua tiga kampit sekali gus sebab lebih mudah. Tak mampu nak beli beras import kerana harganya jauh beza harganya, tak silap saya harganya RM50 ke atas bagi sekampit beras 5kg.

“Kami tinggal bertujuh dan apabila ada promosi sebegini sudah semestinya saya tidak akan lepaskan peluang,” katanya kepada pemberita.

Di Johor Bahru, pengguna berterima kasih dengan usaha kerajaan dalam membantu meringankan beban masyarakat termasuk dengan menyediakan bekalan beras pada harga rendah.

Seorang pesara, Azhar Abdul Wahab, 74, berkata, harga ditetapkan sebanyak RM27 bagi sekampit beras 10 kilogram dan seekor ayam mentah dapat membantu meringankan bebannya dalam menyediakan keperluan harian buat keluarga.

Penduduk membeli beras tempatan 10kg dan seekor ayam pada harga RM27 sempena Program Jualan Agro Madani di Pasar Tani Kekal, Jalan Datin Halimah, Larkin, Johor Bahru semalam. – RAJA JAAFAR ALI

Hal itu kerana katanya, bulan lalu dia terpaksa membeli beras import yang dijual pada harga lebih mahal iaitu RM39 sekampit apabila sukar mendapatkan bekalan beras tempatan.

“Saya sudah cari di beberapa kedai runcit dan pasar raya sekitar Tampoi tetapi tidak jumpa. Alhamdulillah, rezeki hari ini apabila dapat beli beras dengan harga RM27, malah turut dapat seekor ayam,” katanya ketika ditemui pada Program Jualan Agro Madani di Pasar Tani Kekal Jalan Datin Halimah semalam.

Seorang suri rumah, Hafizah Hassan, 35, pula berharap pelaksanaan Jualan Agro Madani itu dapat diteruskan dan dilaksana secara kerap bagi membantu masyarakat memembeli bekalan beras tempatan.

“Untuk keluarga saya, beras 10kg boleh tahan sebulan. Jadi alhamdulillah saya dapat peluang ini untuk beli beras dan ayam seekor. Sebab di pasaran paling murah saya jumpa adalah sekitar RM39 sekampit.

Menerusi pelan intervensi dilaksanakan FAMA, sebanyak 30,000 metrik tan beras putih tempatan diedar ke empat pusat operasi FAMA seluruh Johor iaitu di Johor Bahru, Tangkak, Simpang Renggam dan Batu Pahat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN