fbpx
KEADAAN lubang yang digali sebelum ditinggalkan tanpa ditimbus oleh kumpulan pencari emas sehingga membentuk kolam di Pantai Pontian, Rompin.

Pantai Pontian ‘ditebuk’ pencari emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ROMPIN – Tindakan sekumpulan individu yang taasub ‘mene­buk’ dan menggali emas di Pantai Pontian, di sini, mengundang masalah baharu kepada orang ramai.

Sebelum ini, lokasinya yang terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Kuala Rompin itu menjadi sasaran pencari emas selepas dikatakan memiliki galian berharga berkenaan.

Tinjauan Kosmo! Ahad mendapati, terdapat longgokan pasir dan beberapa lubang besar yang digali telah ditakungi air sehingga membentuk ‘kolam’ di kawasan berpasir berhampiran pantai itu.

Malah tebing ‘kolam’ itu juga dilihat semakin runtuh menyebabkan sebuah rumah yang tidak diduduki mengalami risiko runtuh jika pasir berkenaan tidak ditimbus dengan segera.

Menurut sumber, terdapat sekumpulan individu yang membawa jengkaut mula menggali kawasan berkenaan bermula ­Januari lalu.

Katanya, selepas penggalian beberapa lubang yang agak dalam kumpulan berkenaan telah meninggalkan tempat kawasan itu pada Jun lalu.

“Saya tidak pasti kenapa mereka berhenti, sama ada mereka mendapat emas atau mereka takut dikesan pihak berkuasa tetapi kawasan ini ditinggalkan begitu sahaja.

“Saya dengar ada yang mengatakan mereka melakukan penggalian selepas mendapat tahu melalui ‘scan’ terdapat ketulan emas yang besar di situ,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Abdul Rahim Mohamad, 53, berkata, tindakan sekumpulan individu yang menggali tanah berpasir di kawasan itu sememangnya menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk.

KOLAM besar ditakungi air serta timbunan pasir yang ditinggalkan pencari emas membahayakan keselamatan orang ramai.

Katanya, penduduk tidak dapat berbuat apa-apa meman­dangkan tanah tersebut adalah milik persendirian dan tuan ta­nah tidak tinggal di situ.

Bagaimanapun katanya, tindakan individu berkenaan yang tidak menimbus kembali kawasan kolam berkenaan menimbulkan keresahan penduduk ke­rana ia boleh mengancam nyawa terutama kanak-kanak.

“Saya lihat kolam yang bertakung air ini dalam, malah kea­daan tebing yang senang runtuh menyebabkan ia bagaikan satu jerangkap samar.

“Ia bukan sahaja membahayakan kanak-kanak yang tinggal di sini, malahan juga pengunjung luar yang sering datang ke pantai ini untuk beriadah bersama keluarga dan memancing,” ujarnya.

Kosmo! pada 31 Disember 2021 melaporkan, Malaysia bukan sahaja kaya dengan simpanan emas, bauksit, mineral bukan logam dan mineral tenaga bernilai hampir RM4.11 trilion, malah masih ba­nyak lagi kawasan sumber galian itu yang berpotensi untuk diteroka di negara ini.

Sementara itu, Kewujudan emas di Kuala Pontian, di sini, tidak dapat disangkal kerana kawasan itu berkemungkinan mempunyai galian berharga kerana berada dalam jalur emas Pantai Timur.

Presiden Institut Geologi ­Malaysia, Abd. Rasid Jaafar berkata, Kuala Pontian di Rompin memang berada di dalam jalur emas Pantai Timur yang bermula dari Terengganu sehingga ke Johor.

“Kuala Pontian memang kawasan aluvium pantai, buat masa ini tidak boleh dipastikan sama ada emas ada atau tidak.

“Berapa konsentrasinya pun tidak dapat dipastikan sehingga ada kajian dilakukan terutama menggunakan persampelan dari lubang gerudi.

“Namun begitu, kemungkinan ada (emas) tidak boleh dinafikan kerana Kuala Pontian terletak dalam jalur emas,” katanya ketika dihubung Kosmo! Ahad.

Katanya, emas wujud dalam berbagai bentuk sama ada sebagai emas primer di dalam batu seperti di Tanjong Arong dan Tanjung Murau di Mersing atau sebagai emas plaser seperti di Lubok Mandi, Terengganu.

Katanya, di Tanjung Murau, Mersing, galian itu pernah di dulang oleh penduduk satu masa dahulu, manakala di Tanjong Arong juga ada potensi emas di dalam batuan volkano. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN