fbpx

Tak suka, jangan kecam lebih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Orang kata dalam hidup ini, apa sahaja yang kita lakukan pasti ada manusia yang tidak menyukainya biarpun apa yang kita buat baik di mata sebahagian orang termasuk diri sendiri.

Itulah lumrah manusia sejak zaman berzaman.

Nabi Muhammad SAW sendiri pun menerima tentangan daripada kaum Quraish ketika berdakwah, apatah lagi kita sebagai umatnya yang tidak mempunyai apa-apa kelebihan jika dibandingkan dengan baginda.

Lagipun, kita sebagai hamba Allah yang hina sudah pasti ada kekurangan iaitu kurang sempurna dalam melakukan sesuatu.

Namun kekhilafan tersebut tidak sepatutnya dijadikan isu besar sehingga dijadikan modal untuk mengutuk dengan memberi kecaman yang dahsyat, seolah-olah mereka yang mengecam itu terlalu suci dalam segala hal.

Sepatutnya tegurlah secara berhemah agar sama-sama dapat memperbaiki apa yang perlu dibuat demi kebaikan semua.

Pengamal media arus perdana masa kini tidak dapat lari daripada menggunakan media sosial sebagai medium menyalurkan berita dan maklumat sama ada berbentuk semasa, hiburan, sukan dan sebagainya.

Namun apa yang penulis terkilan akhir-akhir ini, terdapat sebilangan rakan-rakan yang dahulunya berjuang dalam satu pasukan dan kini tidak lagi berada dalam industri media begitu lantang mengecam apabila muncul berita yang tidak disukai pada pandangan mereka.

Apabila mereka yang dahulunya aktif dalam bidang media membuat ‘onar’, orang luar yang tidak mempunyai apa-apa pengetahuan turut sama mengecam secara berjemaah di ruangan komen di laman sosial.

Ini memberi gambaran negatif dan buruk terhadap institusi media arus perdana, seolah-olah tidak boleh dipercayai dan mempunyai pandangan yang condong ke arah keburukan.

Hal ini tidak sepatutnya berlaku. Hormatilah hasil kerja orang lain dan jangan anggap sebagai ‘sampah’.

Seharusnya mereka menegur secara baik dan ‘memberi salam’ sebelum mengetip papan kekunci memberikan pandangan mereka yang tidak bersetuju dengan perkara itu.

Janganlah berlagak suci kerana sebelum ini pun mereka pun turut melakukan benda yang sama, cuma bezanya tidak lagi berada dalam industri.

Lagi satu, ada juga puak-puak yang sering mempertikaikan sesuatu fakta secara terbuka di media sosial, sedangkan sebelum ini mereka mencari rezeki dengan syarikat media, seolah-olah ingin mencanangkan satu dunia betapa teruknya tempat yang sebelum ini menjadi lubuk rezeki mereka.

Janganlah kerana tidak berkenan dengan berita atau orang tertentu dijadikan ‘lesen’ untuk mereka membuat kecaman seolah-olah diri mereka suci dan dan ‘maksum’, manakala orang lain semuanya dungu.

Jadilah orang yang menghargai hasil kerja orang lain kerana kecaman tidak membawa sebarang faedah, sebaliknya melahirkan benih-benih permusuhan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN