PETALING JAYA – Individu yang berdepan dengan masalah putus cinta perlu mengelak daripada hidup bersendirian dan berkurung di dalam bilik, sebaliknya segera mendapatkan sokongan daripada orang terdekat bagi mengelak sebarang tindakan di luar kawalan.
Pakar kaunselor Perkahwinan, Industri dan Motivasi, Hushim Salleh berkata, emosi seseorang yang baharu ditinggalkan oleh kekasih hati memang agak berat sehinggakan mereka menangis berterusan dan boleh membawa kepada kemurungan.
Ujarnya, perkara di luar kawalan seperti mencederakan diri sendiri atau bunuh diri mungkin antara kemuncak kepada tindakan luar kawalan sekiranya masalah itu gagal ditangani dari peringkat awal.
“Masa bercinta semua perkara indah-indah belaka. Kasih sayang yang dicipta memberikan kesan mendalam kepada psikologi dan mental.
“Semestinya bila putus cinta, akan tinggalkan kesan kepada emosi. Yang jumpa saya menangis tidak berhenti, tak nak bercakap dengan orang.
“Jadi cara untuk ubati putus cinta adalah dengan melihat atau bergerak ke depan, mengharmonikan diri sendiri, cari seseorang untuk bercerita dan datang jumpa kaunselor,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Tambahnya, terdapat sesetengah personaliti, setelah putus cinta, mereka akan mengkritik diri sendiri dari segi personaliti membuatkan keyakinan diri merundum.
“Sebulan saya terima lima hingga enam kes putus cinta. Kebanyakan terdiri daripada remaja, pelajar universiti dan ada juga mereka yang sudah bekerja,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan (Bimbingan & Kaunseling), Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Syed Mohamad Syed Abdullah berkata, golongan wanita memang lebih cenderung berdepan masalah gangguan mental disebabkan faktor biologi selain memiliki bentuk personaliti neurotik yang berisiko mengalami kemurungan berbanding kaum lelaki.
Bagaimanapun katanya, terdapat juga kajian menunjukkan golongan wanita mudah mengalami gangguan mental disebabkan ketidakstabilan hormon yang dialami.
“Contoh ketidakstabilan hormon seperti datang bulan atau pada fasa awal atau tengah kehamilan. Disebabkan perkara ini, wanita dikatakan lebih terdorong untuk mendapatkan kemurungan, kecelaruan mental dan kebimbangan yang lebih mudah berbanding lelaki.
“Ada kajian lagi menyatakan bahawa wanita kebanyakkannya memiliki bentuk personaliti neurotik iaitu personaliti negatif seperti mudah rasa marah, takut dan bimbang sehingga ia berisiko mengalami kemurungan berbanding personaliti lain,” katanya.














