fbpx

Mohammad dijangka dilantik Panglima Angkatan Tentera esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Ab Rahman (dua kiri) memeriksa perbarisan pada Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Darat Ke-29 di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini. Foto - FARIZ RUSADIO/KOSMO! ONLINE.

KUALA LUMPUR – Beberapa tampuk kepimpinan Tentera Darat Malaysia (TDM) akan berlaku perubahan ekoran Panglimanya, Tan Sri Mohammad Ab. Rahman dijangka dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) esok.

Menurut beliau, antara perubahan yang berlaku adalah kedudukannya sebagai Panglima TDM yang bakal diganti Timbalan Panglima TDM, Leftenan Jeneral, Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.

“Esok akan berlaku perubahan atas kepimpinan TDM. Saya akan serahkan tampuk pemerintahan TDM kepada Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan yang akan dinaikkan pangkat kepada Jeneral sekali gus Panglima Tentera Darat Ke-30 esok.

“Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim akan menjadi Timbalan Panglima Tentera Darat yang baharu.

“Kekosongan Panglima Medan Barat Tentera Darat akan diisi dengan Panglima Dua Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Darat Ke-29 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Dalam istiadat perbarisan tersebut, seramai 46 pegawai dan 1,110 anggota lain-lain pangkat diketuai Pegawai Pemerintah Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Leftenan Kolonel Mohd Azroi sebagai penghargaan buat Mohammad.

Perbarisan tersebut turut melibatkan tujuh Panji mewakili rejimen dan kor di dalam Tentera Darat Malaysia antaranya RAMD, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, Rejimen Semboyan Diraja, Rejimen Askar Jurutera Diraja, Rejimen Artileri Diraja dan Kor Perkhidmatan Diraja.

Untuk rekod, Mohammad ditauliah pada Julai 1987 ke dalam Kor RAMD dengan jawatan sebagai Ketua Platun di Batalion Ke-4 RAMD Sungai Ara, Pulau Pinang.

Selepas memegang beberapa tampuk kepimpinan sepanjang kariernya, beliau akhirnya dilantik menjadi Panglima Tentera Darat pada Mac 2023 mengambil alih pemerintahan Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain yang bersara.

Bermula esok, Mohammad akan dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-22 setelah enam bulan menerajui pemerintahan Tentera Darat.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI