PETALING JAYA – Permintaan tinggi terhadap kenderaan elektrik (EV) di Malaysia dalam tempoh 10 tahun lagi dijangka turut menjejaskan ramai golongan mekanik jika mereka tidak berubah mengikut arus teknologi.
Ia ekoran EV tidak menggunakan enjin konvensional berasaskan petrol dan diesel, sebaliknya kenderaan itu menggunakan motor elektrik dijana kuasa bateri.
Seorang pemilik bengkel, Syed Iskandar Syed Ismail, 38, berkata, permintaan terhadap kemahiran dan ilmu pengetahuan mengenai enjin yang ada pada mekanik ketika itu mungkin berkurangan.
“Peningkatan penggunaan EV memang sedikit sebanyak akan menjejaskan mekanik sedia ada, terutama yang tidak memiliki kemahiran elekronik.
“Tidak ramai mekanik memiliki kemahiran elektronik atau sistem komputer. Jadi mekanik perlu mula menguasai kemahiran tentang EV pula, namun itu bukan sesuatu yang mudah.
“Saya ambil masa 10 tahun untuk mahir sepenuhnya tentang enjin kereta. Mungkin saya perlukan tempoh lima hingga 10 tahun lagi untuk mahir tentang EV pula,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Syed Iskandar berkata, permintaan terhadap pekerja bengkel juga dijangka berubah apabila golongan majikan menghendaki pekerja mereka mempunyai kemahiran tentang EV.
Seorang lagi pemilik bengkel yang mahu dikenali sebagai Zaki berkata, beliau kini memantau perkembangan EV di Malaysia.
Jelasnya, beliau tidak mahu tergesa-gesa dalam perkara itu kerana menjangkakan penggunaan EV di negara ini secara meluas masih lambat lagi.
“Kemahiran mekanik masih relevan dalam tempoh banyak tahun akan datang. Ketika ini saya tunggu dan lihat.
“Saya akan mula mendalami tentang EV apabila stesen pengecasan EV semakin banyak.
“Bayangkan jika EV yang anda bawa tiba-tiba kehabisan tenaga bateri. Bagaimana mahu mengecasnya jika tidak banyak stesen pengecasan EV,” katanya.
Mekanik bergerak, Mohd. Rifhan Kamarulzaman, 35, pula berkata, EV sesuatu yang sangat baharu di Malaysia, maka mekanik perlu mendalami ilmu mengenainya.
Katanya, beliau bersedia mempelajari tentang EV sekiranya terdapat kursus ditawarkan mana-mana pihak kerana perkembangannya tidak boleh dielakkan.
“Buat masa ini, saya tidak pernah jumpa (perbaiki) kereta EV. Saya bolehlah cuba periksa sebab pernah bekerja di pusat servis BMW yang sarat dengan sistem elektronik.
“Memang perlu belajar tentang EV untuk mahir,” katanya.
Seorang lagi mekanik yang hanya mahu dikenali sebagai Zam berkata, dia khuatir permintaan tinggi terhadap EV akan menyebabkan bengkel kenderaan miliknya tidak lagi relevan.
Katanya, dia menjangkakan kos untuk menyelenggara EV adalah mahal dan berharap ia akan berkurangan sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap kenderaan itu.














