fbpx

Tiga lelaki mabuk ditahan dalam sekatan jalan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga individu ditahan memandu dibawah pengaruh alkohol ketika Operasi Mabuk secara sekatan jalan raya malam tadi. -Foto PDRM

AMPANG JAYA – Tiga individu lelaki dicekup kerana memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan ketika sekatan jalan raya di Jalan Pandan Utama, di sini semalam.

Ketiga-ketiga lelaki itu ditahan ketika Operasi Mabuk secara sekatan jalan raya dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang Jaya bermula pukul 10 malam hingga 12 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, tiga lelaki ditahan atas kesalahan memandu kenderaan bermotor dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan mengikut peruntukan Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987.

“Suspek masing-masing berusia 41, 56 dan 69 tahun serta kenderaan yang terlibat telah dibawa balik ke BSPT Ampang Jaya.

“Hasil ujian nafas dengan menggunakan alat Evidential Breath Analyzer II (EBA II) terhadap ketiga-tiga individu berkenaan menunjukkan keputusan tahap kandungan alkohol dalam darah melebihi had yang ditetapkan iaitu 50/100ml sahaja yang dibenarkan,”ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, individu yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen itu boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun dan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih daripada RM30,000.

“Selain itu, lesen memandu akan digantung selama tempoh tidak melebihi dua tahun,”katanya.

Mengulas lanjut operasi berkenaan, sebanyak 55 buah kenderaan dan 70 individu telah diperiksa.

“Sebanyak 32 saman telah dikeluarkan atas kesalahan seperti tiada lesen memandu yang sah, ubah suai kenderaan, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, cermin sisi dan lain-lain kesalahan.

“Orang awam diingatkan supaya tidak memandu atau menunggang kenderaan semasa berada dibawah pengaruh alkohol kerana ia membahayakan diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain,”tegasnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI