PADA Februari lalu, UMW Toyota telah melancarkan barisan kenderaan prestasinya dengan tanda nama GR bagi pasaran Malaysia.
Model yang ditampilkan pada masa itu ialah GR Supra (manual), GR Corolla dan GR86. Turut diperkenalkan Hilux GR Sport dan Corolla Cross GR Sport.
Baru-baru ini penulis telah diberi peluang untuk memandu uji model GR86 generasi kedua yang sebelum ini dikenali sebagai GT86.
Model yang dibina dengan kerjasama Subaru ini turut mempunyai kembar dengan nama BRZ.
Subaru BRZ dilancarkan lebih awal iaitu pada November 2020, manakala Toyota GR86 diperkenalkan pada April 2021.
Kereta sport ini dibina menggunakan Subaru Global Platform (SGP) yang telah dipertingkat berbanding model sebelum ini.
Penulis difahamkan bumbung, hud dan fender hadapan GR86 ini diperbuat daripada aluminium.

GR86 ini lebih rendah jika dibanding sebelum ini. Ia direka sedemikian bertujuan merendahkan pusat graviti serta mengurangkan penambahan berat enjin di samping sebagai ciri keselamatan.
Dari segi luaran, perbezaan GR86 dengan kembarnya ialah GR86 berekaan jeriji gril yang diapit kemasan berbentuk L sebagai saluran udara.
Pada bahagian sisinya, kereta dua pintu ini menggunakan rim bersaiz 18 inci dengan tayar 215/40.
Bahagian belakang pula hadir dengan dua ekzos berkembar yang menaikkan imej sukan kereta ini.
Masuk ke ruang kabin, dua tempat duduk separa buket akan memegang badan pemandu dan penumpang hadapan terutama ketika melalui jalan selekoh.
Penggunaan warna hitam dan merah mencetus rasa sporty dalam kereta ini. Brek tangan yang terletak pada sebelah paha pemandu juga antara tarikan kerana kebanyakan kereta canggih sekarang menggunakan brek elektronik.
Tempat duduk pemandu dan penumpang juga dilengkapi pemanas bagi memberikan keselesaan tambahan ketika perjalanan waktu malam atau sejuk.
Di konsol tengah juga terdapat butang mod pemanduan seperti Sport, Snow dan Track.

Paparan skrin sentuh berukuran lapan incinya pula dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Selain itu model ini juga dilengkapi dengan enam pembesar suara dan dua zon penghawa dingin.
Untuk pasaran Malaysia, UMW Toyota menawarkan dua varian untuk model GR86 dengan perbezaan transmisi automatik dan manual.
GR86 yang penulis pandu uji ini ialah varian automatik. Model ini menggunakan enjin 2.4 liter Boxer 4-silinder dengan transmisi enam kelajuan automatik dan paddle shifter.
Kombinasi itu mampu untuk memberikan kuasa maksimum 237PS dan tork tertinggi pada 250Nm.
Atas kertas, kelajuan maksimum untuk varian automatik ini ialah 216 kilometer sejam (km/j) dan kadar pecutan dari pegun hingga 100 km/j ialah 6.8 saat.
Antara ciri keselamatan pada model ini seperti Pre-Crash System, Adaptive Cruise Control, Lane Departure Alert, Blind Spot Monitoring, Automatic High Beams, Adaptive Front Lighting System dan tujuh beg udara keselamatan.
Kesimpulan saya, model kereta sport ini bukan untuk semua orang kerana fizikal kereta jenis begini bukan sesuai untuk dinaiki sekeluarga. Tempat duduk belakang pun mungkin hanya kanak-kanak kecil yang muat.
Pun begitu, GR86 ini sesuai untuk mereka yang mencari kereta sport untuk kegunaan sendiri.
Sepanjang penulis menggunakan kereta ini selama beberapa hari juga tidak sukar untuk mengendalikannya.
Kuasa dan pengendalian yang tegap merupakan tambah nilai pada model ini.















