fbpx

Menjelajahi Laos secara ‘backpacker’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENULIS bergambar di perkampungan terpencil Muang Ngoy, Laos.

PENGEMBARAAN saya dan isteri ke Laos bermula dengan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Bangkok, Thailand untuk transit kerana tiada penerbangan terus ke negara tersebut pada ketika itu.

Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, kami menaiki kereta api untuk ke sempadan Thailand-Laos iaitu antara Nong Khai dan Thanaleng.

Kami memilih untuk menaiki kereta api pada waktu siang kerana mahu menikmati pemandangan di laluan utara Thailand menerusi tingkap kereta api.

Perjalanan kami ke kota Nong Khai di utara Thailand memakan masa selama lapan jam. Setiba di destinasi, kami menaiki tuk tuk ke pejabat imigrasi Thailand untuk urusan rentas sempadan.

Merasai pengalaman menaiki kereta api dari Bangkok ke Nong Khai.

Selepas itu, kami menaiki bas untuk ke pejabat imigrasi Laos pula bagi urusan sama. Setelah selesai, kami menaiki van ke ibu kota Laos, Vientiane.

Di Vientiane, kami memilih untuk meneroka kawasan bandar dengan berbasikal. Bandar ini memiliki pengaruh Asia purba serta kesan peninggalan penjajahan Perancis yang serba moden.

Setelah puas, kami menaiki bas untuk ke kota seterusnya, Vang Vieng.

Vang Vieng merupakan pekan kecil yang meriah serta lokasi tumpuan pelancong Barat.

Terdapat pelbagai cara untuk menerokai kawasan di sekitar kota ini. Antaranya adalah dengan menaiki tubing, buggy car, kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), motosikal atau bot.

Untuk kelainan, pengunjung boleh mencuba pengalaman menaiki belon panas sambil menikmati pemandangan alam semula jadi.

MERONDA sekitar ibu kota Vientiane dengan menggunakan basikal.

Sepanjang berada di Vang Vieng, kami memilih untuk menelusuri sungai menggunakan bot dan menaiki motosikal sehingga ke puncak Nam Xay.

Seterusnya, kami meneruskan pengembaraan dengan mengambil kereta api ke kota Luang Prabang.

Kami memilih untuk naik kereta api berbanding bas kerana kosnya lebih murah dan perjalanannya lebih laju.

Setiba di destinasi, kami terpaksa berjalan sedikit sebelum menaiki van yang akan membawa kami ke bandar Luang Prabang.

Lokasi wajib untuk dilawati sepanjang berada di sini adalah air terjun Kuang Si. Di kawasan tersebut, terdapat denai yang membolehkan pengunjung mendaki ke puncak untuk melihat aliran masuk ke dalam air terjun.

Ketika di Luang Prabang, kami diberitahu tentang satu lagi pekan kecil di Laos iaitu Nong Khiaw.

MELIHAT panorama indah di Nong Khiaw.

Kami membuat keputusan untuk melawat sebuah perkampungan tepi sungai yang jauh di dalam hutan, Muang Ngoy dengan menaiki motosikal.

Pada mulanya, kami menyesal kerana perjalanan sangat jauh ke dalam hutan dan jarang terserempak dengan orang sepanjang perjalanan itu.

Kami menempuh beberapa perkampungan kecil di dalam hutan dan terpaksa meredah sungai tanpa jambatan. Nasib baik air tidak ‘pasang’ pada ketika itu.

Apabila kami tiba di Nong Khiaw, kami diberitahu bahawa medium pengangkutan umum di kawasan itu adalah menerusi jalan air.

Setelah puas melihat kehidupan masyarakat tempatan, kami patah balik ke Luang Prabang.

Dari Luang Prabang, kami menempah penerbangan ke Bangkok, Thailand. Kami sempat transit sehari di kawasan Ratchathewi, sebelum pulang ke Malaysia pada keesokannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI