fbpx

K2

Selia kualiti, beri tunjuk ajar setelah mahir menjahit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Setelah mahir menjahit hasil mengikuti kelas jahitan di Dignity, pelarian Myanmar, Anna bukan sahaja dapat menyara keluarganya tetapi juga menyelia dan melatih pelajar kumpulan baharu.

SEJAK kecil, anak kepada seorang pelarian Myanmar di Malaysia yang hanya mahu dikenali sebagai Anna sering memerhatikan ibunya menjahit.

Biarpun tidak mempunyai mesin jahit, ibu Anna hanya menggunakan kedua-dua tangannya untuk menjahit pelbagai pakaian daripada baju, seluar dan juga beg tangan bagi menjana pendapatan buat keluarga mereka.

Apabila usianya meningkat, Anna mula membantu ibunya, namun skil jahitannya agak terhad.

Dia kemudian menanam azam untuk memperbaiki skil menjahit yang dimilikinya, seterusnya menggunakan kemahiran tersebut untuk menyara keluarganya.

Anna kemudian berpeluang mengikuti pembelajaran menjahit di sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Yayasan Dignity for Children (Dignity) berpangkalan di Sentul yang membantu golongan terpinggir, tidak berkemampuan termasuk pelarian.

Kongsi wanita berusia 23 tahun itu, dia pada awalnya mendapat tahu tentang Dignity daripada ketua komuniti pelariannya.

“Saya mendapat tahu tentang NGO ini daripada ketua komuniti dan menunggu agak lama untuk mendapatkan tempat di situ.

“Namun, saya gembira kerana akhirnya berjaya ditempatkan di Dignity dan lebih teruja apabila mendapat tahu mereka menawarkan kelas jahitan.

“Oleh itu, saya segera mendaftar untuk mengikuti kelas jahitan yang ditawarkan memandangkan saya memang berhasrat untuk meningkatkan kemahiran menjahit saya,” ujarnya.

Visi Dignity adalah untuk memupuk dan memperkasa serta menjadi pengubah dunia melalui pendidikan transformatif.

Beberapa tenaga pengajar jahitan menunjukkan cara menjahit kepada beberapa pelajar muda.

Ia telah menyediakan pendidikan kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik sejak 25 tahun lalu dan telah mendidik lebih 250 pelajar setiap tahun.

Dignity merupakan salah satu pusat pembelajaran terbesar dan paling komprehensif untuk golongan kurang berkemampuan di Malaysia.

Jelas Anna lagi, selain mengasah bakat dalam bidang jahitan, dia juga turut berusaha memperkasa lagi penguasaan bahasa Inggerisnya.

“Saya sedar bahawa jika saya ingin serius dalam bidang jahitan, saya perlu boleh berkomunikasi dengan baik bersama rakan sekerja dan mungkin juga pelanggan.

“Ia menjadi sebab utama mengapa saya perlu memperkasa penguasaan bahasa Inggeris saya,” jelasnya.

Berkat kesungguhannya, Anna mencatat keputusan cemerlang dalam bidangnya sehingga dia mendapat tempat di pusat pengeluaran rangkaian runcit tempatan yang mantap di bawah Program Penempatan Kolej Dignity.

Objektif utama program ini adalah untuk memastikan kebolehpasaran pelajarnya.

Pendedahan yang diperoleh Anna dalam bidang jahitan di Dignity adalah sesuatu yang cukup berharga buat dirinya.

“Selain daripada menjahit, saya juga belajar tentang kawalan kualiti, kepentingan potongan yang baik, perkhidmatan pelanggan dan banyak lagi.

“Ia adalah pengalaman yang tidak ternilai,” ujarnya.

Anna menyelia kawalan kualiti dan pemotongan pelbagai produk jahitan Dignity seperti pakaian dan juga beg tangan.

Dia juga kini sedang berusaha untuk menambah baik reka bentuk corak untuk mengembangkan rangkaian produk dan penawaran perusahaan.

Selain itu, Anna juga melatih kumpulan pelajar baharu setiap penggal, menyampaikan pengetahuan praktikal dan pengalaman pasaran yang diperolehnya kepada mereka.

Dia turut menyelia rangkaian tukang jahit sambilan yang bergabung menjahit untuk Dignity selain menyokong wanita lain yang bekerja dari rumah.

“Cabaran terbesar ialah berurusan dengan pelanggan, pelajar dan rakan sekerja tetapi saya gembira kerana melalui pengalaman saya menyedari kepentingan memberi dan menerima,” katanya.

Maklumat lanjut tentang Dignity boleh diperoleh menerusi Facebook Dignity dan laman web https://dignityforchildren.org/.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI