fbpx

474 ahli Pengakap Malaysia dipindah ke dua kawasan lain di Korea Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peserta Jambori Pengakap Dunia Ke-25 bersiap sedia untuk meninggalkan tapak perkhemahan di Buan, Jeolla Utara di Korea Selatan.

PUTRAJAYA – Seramai 474 ahli kontinjen Malaysia yang sedang menyertai Jambori Pengakap Dunia ke-25 kini dilaporkan dalam proses penempatan semula ke dua kawasan berasingan di Korea Selatan.

Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Seoul berkata, dua tempat itu ialah di Korea National University of Agriculture and Fisheries dan Jeonbuk National University di Jeonju-si, Jeollabuk-do.

Dalam satu kenyataan Wisma Putra berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Seoul sedang memantau secara rapi proses tersebut dengan berhubung secara langsung bersama wakil kontinjen Malaysia dan pihak penganjur bagi mendapatkan perkembangan terkini.

“Kementerian Luar Negeri Korea Selatan semasa sesi penerangan kepada kor diplomatik memaklumkan bahawa kerajaan negara itu akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk menyediakan kemudahan penginapan, pengangkutan, perubatan dan sajian untuk kesemua peserta Jambori.

“Kerajaan mereka juga memberi jaminan akan merombak semula program Jambori dan akan menyelaraskan pelaksanaannya mengikut kesesuaian tapak baharu yang dipilih bagi memastikan objektif penganjuran tercapai,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Wisma Putra sebelum ini memaklumkan Kontinjen Pengakap Malaysia yang menyertai acara itu bermula 1 hingga 12 Ogos ini berada dalam keadaan selamat susulan cuaca panas yang agak melampau di Saemangeum, Korea Selatan.

Kontinjen berkenaan melibatkan seramai 499 ahli terdiri daripada pengakap, guru pengiring dan pasukan sokongan.

Korea Selatan memindahkan berpuluh-puluh ribu pengakap hari ini dari kem jambori yang dibelenggu pelbagai masalah menjelang ketibaan ribut puting beliung, beberapa hari selepas gelombang haba mengakibatkan ramai peserta jatuh sakit.

Dilaporkan, suhu mencecah 34 darjah Celsius di Saemangeum, berhampiran bandar Buan di pantai barat Korea Selatan, yang mana hampir 39,000 ahli pengakap berumur 14 hingga 18 tahun menyertai aktiviti perkhemahan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI