fbpx

Nasi daun pisang cita rasa Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYED NAQIZ (kiri) bersama Nik Zaim (kanan) bergambar bersama sebahagian menu pilihan di restoran Daun Pisang Guys, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

TIADA ungkapan tepat bagi menggambarkan keenakan kombinasi kuah kari ikan, asam pedas, masak lemak cili api dan kentang masak tumis kicap yang digaul bersama nasi putih.

Makanan yang dihidang di atas daun pisang tersebut dilengkapi dengan keropok ikan, kentang goreng sambal balado, sayur acar jelatah dan terung goreng garing.

Bagi menambahkan lagi ciri kemelayuan pada hidangan itu, pelanggan turut dihidangkan dengan sambal merah, sambal hijau dan air pindang panas.

Juadah unik beralaskan daun pisang itu merupakan hidangan signatur di restoran Daun Pisang Guys, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

Menurut pemiliknya, Datuk Syed Naqiz Shahabuddin, konsep beralaskan daun pisang yang sinonim dengan masakan India itu diberi sentuhan baharu dan digantikan dengan masakan Melayu.

“Cara hidangan ini sama seperti konsep daun pisang biasa, namun kami ganti rasam dengan air pindang, papadom diganti dengan keropok ikan, kuah masakan India ditukar dengan masakan Melayu.

“Kombinasi kuah ini ala-ala nasi kandar, tapi semua kuah nasi kandar adalah berasaskan kari.

“Berbeza dengan kombinasi empat masakan Melayu kami.

“Semua kuah ini dimasak dengan resipi cef tersendiri di sini. Jadi, rasa itu sangat unik dan tidak bercanggah antara satu sama lain,” katanya.

Biarpun kombinasi empat kuah itu merupakan satu keunikan yang wajar dicuba, pelanggan boleh memilih sama ada untuk menikmati satu kuah atau beberapa kombinasi mengikut selera mereka.

Pelanggan juga boleh menambah (refill) juadah beralaskan daun pisang sekali secara percuma.

HIDANGAN di restoran Daun Pisang Guys disajikan di atas daun pisang dengan pilihan sambal merah, sambal hijau dan air pindang. – M. Firdaus M. Johari

Bagi pelanggan yang mengamalkan diet vegan, mereka akan dihidangkan dengan nasi berkuah kentang masak tumis, sayur acar jelatah, terung goreng garing dan air pindang.

Tambah Syed Naqiz, kebanyakan pelanggan berstatus vegan akan menghubungi mereka dahulu sama ada menerusi Instagram atau panggilan untuk menempah masakan.

“Sekiranya restoran tidak sibuk, cef sentiasa berbesar hati untuk menyediakan makanan diet vegan yang seratus peratus berasaskan tumbuhan.

“Kami dalam proses menambahkan lagi pilihan masakan vegan agar juadah kami dapat dinikmati oleh lebih ramai pelanggan,” jelasnya.

Selain juadah asas tersebut, Daun Pisang Guys turut menawarkan masakan sampingan seperti ayam goreng berempah, ayam kampung madu berempah, ikan kembung ketuk sambal cili mangga, sotong goreng crispy telur masin dan daging masak dendeng.

Tidak terhenti di situ, pelanggan turut ditawarkan dengan sotong bakar sambal dan pelbagai ikan bakar sambal.

Menurut ketua cef, Nik Zaim, semua resipi yang diterapkan dalam masakan di restoran tersebut dicipta serta mendapat nasihat cef Najib Hamid.

“Gulai atau kuah kami tidak seperti masakan tradisional. Sedikit olahan dilakukan agar rasa kombinasi empat kuah saling melengkapi.

“Masakan kami secara asasnya tidak pedas, tetapi kami sediakan dua sambal yang memiliki tahap kepedasan berbeza. Alhamdulillah, setakat ini pelanggan daripada pelbagai latar belakang boleh menerima keunikan kombinasi berkenaan,” kongsinya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI