TEKNOLOGI menentukan masa melalui jam mekanikal menjadikan kehidupan pada hari ini lebih mudah terutamanya dalam mengetahui waktu solat.
Namun, sekiranya teknologi berkenaan hilang seketika, agak sukar untuk mengetahui masa sebenar dan waktu solat.
Jam matahari adalah peralatan utama bagi pengukuran masa sejak dari zaman dahulu.
Kini, penggunaannya masih relevan dalam mengukur ketepatan masa.
Selain mengukur masa, jam matahari juga mempunyai pelbagai fungsi lain, antaranya penunjuk arah kiblat.
Menyedari kepentingan itu, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan telah berjaya melancarkan Dataran Astronomi dan Jam Matahari Terbesar Dalam Hutan Simpanan Kekal bagi pendidikan ilmu falak serta astronomi.
Pelancaran itu adalah sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Sembilan 2023 di PD Forest @ Sungai Menyala, Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Tercetusnya idea itu adalah selepas melihat kepentingan ilmu falak untuk dipelajari oleh generasi muda.
Pada masa sama, ia dapat membantu menghidupkan semula warisan sains dan seni Islam.
Menurut pembuat jam matahari itu, Abdullah Hassan, 38, dia sangat berpengalaman dalam membina struktur tersebut.
Ujarnya, jam matahari di PD Forest @Sungai Menyala itu merupakan jam matahari ke-30 yang dibinanya.

Dia memaklumkan, ia bagi membolehkan orang ramai mempelajari penetapan waktu sebenar tanpa menggunakan teknologi moden.
Katanya lagi, antara jam matahari yang terdapat di negara ini adalah di Masjid Negara dan bangunan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).
Ulasnya, jam matahari berkenaan mampu menarik minat orang ramai terutamanya pelajar untuk meminati ilmu sains.
“Bagi saya, jam matahari ini penting sebab kita sentiasa ingin tahu masa terbit dan terbenamnya matahari. Gerakan matahari merupakan asas kepada sains.
“Jadi, sekiranya mahu memupuk minat sains dalam kalangan generasi muda, kita perlu dekatkan mereka dengan astronomi.
“Di sini (PD Forest), orang ramai berpeluang untuk mempelajari astronomi,” katanya.
Menurut Abdullah, proses pembinaan jam matahari di PD Forest @Sungai Menyala agak rumit kerana pada awalnya saiz yang diminta adalah tiga meter (m).
“Biasa saya akan buat tiga kaki (kira-kira satu meter).
“Saiz awal itu sangat besar dan saya minta kecilkan supaya proses pembuatannya lebih mudah, selain memastikan ketepatan waktu,” ujarnya.
Ujarnya, terdapat langkah, saiz dan garisan yang perlu dibuat dengan tepat dan ia berbeza-beza.
“Rekaan saya bermula dengan garisan, perlu kiraan tertentu.
“Keseluruhannya, terdapat 90 garisan pada jam matahari ini untuk dipelajari oleh orang ramai,” katanya.
Selain itu, jam matahari yang dibuat oleh Abdullah biasanya mewakili budaya masyarakat setempat.
“Ada ukiran seni masyarakat Melayu yang kita ketengahkan.
“Antara ukiran yang biasa saya buat adalah bunga tanjung, awan larat dan ketam guri.
“Bagi jam matahari terbesar ini, saya guna seni ukiran ketam guri kerana di dalam hutan ada nilai perubatan (melalui tumbuh-tumbuhan), selain penggunaan tulisan jawi,” katanya.

Tambahnya, jam matahari di tempat-tempat umum di Malaysia masih kurang, ia berbeza dengan negara jiran seperti Indonesia.
“Bagi saya, alat pengukur masa ini amat wajar didedahkan kepada generasi muda kerana boleh menarik minat mereka mempelajari sains. Saya gelar ilmu ini sebagai sains rakyat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Saleh Awaludin berkata, tarikan terbaharu itu menjadikan PD Forest @ Sungai Menyala satu-satunya hutan simpanan kekal di Malaysia yang memiliki tarikan berkenaan.
Ujarnya, penubuhan dataran astronomi dan jam matahari itu telah mendapat pengesahan daripada ibu pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Ia turut mendapat kerjasama dan disemak oleh Balai Cerap Telok Kemang, Bahagian Falak dan Sumber Maklumat, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan serta Bahagian Kadaster, JUPEM, Negeri Sembilan.
“Struktur ini sangat sesuai diwujudkan di PD Forest @ Sungai Menyala kerana tahap pencemaran cahayanya sangat rendah.
“Di dalam hutan ini tidak ada gangguan ketika aktiviti cerapan langit dan berkaitan astronomi.
“Pada siang hari, pengunjung boleh melihat waktu sebenar menerusi jam matahari seperti yang digunakan oleh masyarakat kuno dalam menentukan masa dan waktu solat.
“Di malam hari pula, pengunjung dapat melihat bulan, bintang, planet atau bima sakti (milky way) secara mata kasar atau menggunakan teleskop,” katanya.
Untuk makluman, pelancaran dua tarikan berkenaan disempurnakan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Inisiatif berkenaan telah mendapat dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) di dalam kategori sains dan teknologi.
“Ia merupakan dataran astronomi terbesar dalam hutan simpan dengan keluasan 1,320m2 (66 m x 20 m) dan jam matahari terbesar dalam hutan simpan bersaiz diameter 2 m,” ujarnya.
Menurut Saleh, ia juga merupakan jam matahari horizontal (mengufuk) paling besar yang pernah dibuat di Malaysia dengan nilai senggang setiap garisan adalah sebanyak lima minit iaitu nilai bacaan waktu lebih kecil.
“Turut menghiasi jam matahari ini adalah ukiran motif bunga Melayu iaitu bunga ketam guri di bahagian lingkaran tepi,” katanya.
Sementara itu, Aminuddin berkata, PD Forest @ Sungai Menyala yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Edu Eco-Tourism (PEET) terletak dalam Hutan Simpan Sungai Menyala.
Ia telah diwartakan pada tahun 1917 dengan keluasan terkini 1,280 hektar.
Menurutnya, Mesyuarat Lembaga Perhutanan pada 2020 telah bersetuju untuk menjenamakan semula PEET kepada PD Forest @ Sungai Menyala.
“Penjenamaan ini bertujuan menjadikan kawasan berkenaan lebih dikenali dan dikomersialkan ke arah ekopelancongan.
“Penambahbaikan PD Forest bagi meningkat prasarana mula diusahakan dengan menyediakan pelbagai kemudahan bagi keselesaan pengunjung.
“Antaranya, bilik penginapan yang lebih banyak dan mempelbagaikan aktiviti baharu seperti dataran astronomi, jam matahari serta trek basikal lasak,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, Hutan Simpan Sungai Menyala sangat unik kerana fisologinya sebagai hutan dipterokarp tanah pamah yang masih wujud di Semenanjung Malaysia.
“Hutan ini dikelaskan sebagai Hutan Keruing-Meranti kerana didominasi oleh spesies-spesies yang sangat bernilai tinggi.
“Pihak jabatan juga telah menyediakan beberapa plot petak tanaman tambahan seperti pokok nadir, tongkat ali, kacip fatimah dan periuk kera sebagai nilai tambah flora.
“Keunikan hutan ini juga terserlah dengan kewujudan enam ekor tupai merah gergasi (Red Giant Gliding Squirrel) yang masih boleh dilihat hampir setiap petang di sekitar kawasan ini,” katanya.














