fbpx

Bom pada kereta Siti Kasim dalam keadaan ‘switch off’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Objek ditemui pada tayar kereta Siti Kasim dipercayai bom jenis IED, 21 Julai lalu.

KUALA LUMPUR – Polis masih mencari petunjuk baharu berhubung penemuan objek iaitu bom jenis Improvised Explosive Device (IED) yang diletakkan pada kereta aktivis, Siti Kasim, 21 Julai lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, setakat ini, seramai 13 individu diambil keterangan terdiri daripada mangsa, rakan-rakan, mekanik, dan pengawal keselamatan kediaman mangsa.

“Sesiapa sahaja kami rasa (saksi) yang akan membantu siasatan sudah dipanggil beri keterangan. Linkungan umur mereka adalah 26 hingga 60 tahun.

“Kita meneliti kesemua televisyen litar tertutup (CCTV) melibatkan perjalanan aktivis (Siti Kasim) ini dan masih mencari petunjuk,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan ke atas bahan letupan itu mendapati ia merupakan bom yang lengkap dan sempurna berisiko berlakunya letupan.

“Bagaimanapun, kita mendapati bom tersebut dalam keadaan ‘switch off’ (tertutup) dan untuk menghidupkannya ia perlu ditekan suis secara fizikal.

“Bahan lain yang ditemui antaranya kain, diesel, wayar, bateri dan mercun.

“Saya yakin, suspek ini mempunyai ilmu dalam pembuatan bahan letupan dan diharap spekulasi perkara ini akan berhenti setakat ini,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, Polis Brickfields mengesahkan dua objek ditemui di bahagian bawah kereta Siti Kasim atau nama sebenar Siti Zabedah Kasim adalah bom jenis IED.

Beliau dilaporkan berkata, ia berdasarkan siasatan dilakukan pihak Unit Pemusnah Bom (UPB) dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 7 Akta letupan 1957.

Dalam pada itu, Siti Kasim memaklumkan kepada Kosmo! ekstremis agama dipercayai menjadi dalang dalam cubaan membunuhnya dengan meletakkan bom pada tayar belakang kereta

Peguam dan aktivis sosial itu dipetik berkata, dirinya tidak pernah menyangka kejadian sebegitu akan terjadi kepada dirinya dan bersyukur Tuhan telah membantunya sehingga bom jenis IED itu berjaya ditemui sebelum sempat meletup

Siti Kasim berkata, dia menyedari objek yang diletakkan di bahagian tayar itu ketika menghantar kenderaannya ke pusat servis kenderaan pada pukul 12 tengah hari. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI