fbpx

Mahkamah: BNM tidak pernah didedah surat hadiah AS$100 juta diberi kepada Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zeti ketika meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh FAUZI BAHARUDIN/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa BNM tidak pernah didedahkan surat yang didakwa daripada Kerabat Diraja Arab Saudi berhubung wang tunai AS$100 juta yang dihadiahkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Zeti, 76, berkata, tiga surat masing-masing bertarikh 1 November 2011, 1 Mac 2013 dan 1 Jun 2014 daripada Abdulaziz Majid Al Saud yang juga bekas Gabenor Wilayah Madinah dirampas pada 6 Julai 2015 ketika BNM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan serbuan bersama di AmBank.

“Dua surat yang dikatakan dikeluarkan kepada BNM oleh Pengarah Urusan Kumpulan 1MDB, Ashok Ramamurthy (berhubung pembukaan akaun peribadi Najib) timbul ketika siasatan BNM pada Julai 2015. Semasa serbuan itu juga didapati kod akaun bernama AmPrivate Banking – MR sudah ditutup dan tiga akaun yang dibuka pada 2013 juga ditutup,” katanya ketika membaca pernyataan saksinya pada pemeriksaan utama di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Zeti yang juga saksi pendakwaan ke-46 berkata, melalui surat kepada BNM bertarikh 20 Jun 2013, Najib meminta kelulusan FEA (Pentadbiran Pertukaran Mata Wang Asing) untuk menukar jumlah RM2.26 bilion dalam akaun semasa MYRnya kepada dolar Amerika Syarikat (AS) bagi tujuan memulangkan keseluruhan amaun.

Katanya, dalam surat itu, Najib mengisytiharkan dana itu sebagai jumlah derma dan hadiah peribadi belum digunakan yang diterimanya.

Mengambil maklum akan surat itu, Zeti berkata bagi dana yang dimiliki oleh pemegang akaun seperti yang diisytiharkan, tiada kelulusan yang diperlukan di bawah peraturan FEA.

Dalam pada itu, Zeti turut memberitahu bahawa kertas siasatan (IP) yang dikemukakan BNM kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) ketika itu dengan syor untuk memulakan pendakwaan jenayah dan untuk mendakwa 1MDB termasuk pegawai kanan, diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Kata Zeti, meskipun terdapat semua bukti yang dikumpul dan direkodkan oleh BNM dalam IP (mengenai 1MDB) yang dikemukakan, AGC ketika itu, atas sebab yang tidak diketahui, telah memutuskan pada 11 September 2015 bahawa IP yang dikemukakan oleh bank pusat akan diklasifikasikan sebagai NFA.

“IP itu dikemukakan sebagai 1MDB dan pegawainya didapati melanggar peruntukan di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (ECA) kerana memberikan maklumat palsu kepada BNM dalam permohonan 1MDB untuk kebenaran membuat pembayaran di luar Malaysia,” kata beliau.

Perbicaraan masih lagi bersambung. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI