fbpx

Jurubahasa Cina jadi tokoh Maal Hijrah Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Se Pin bersama sijil penghargaan yang diterimanya pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 2023 peringkat negeri di Masjid Al Azim, hari ini.

MELAKA – Jurubahasa Mahkamah, Lee Se Pin, 40, dipilih sebagai Tokoh Bukan Islam Maal Hijrah Melaka atas sumbangannya melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sukarelawan yang dianjurkan oleh badan dakwah.

Menurut Se Pin, dia mula bergerak aktif sejak 10 tahun lalu dengan matlamat untuk meningkatkan nilai perpaduan dan keharmonian masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa serta agama.

Ujarnya, antara aktiviti sukarelawan yang disertainya adalah menjadi pemandu pelancong masjid bagi Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) sukarelawan Hari Terbuka Masjid 2023 dan Dakwah Jalanan.

“Dengan kemampuan saya (fasih berbahasa Melayu), saya hanya ingin membantu meningkatkan perpaduan antara kaum, sekaligus membina bangsa Malaysia, itu hajat saya.

“Saya memang aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan khususnya program kolaborasi antara Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) saya, Dewan Perhimpunan Cina Melaka bersama-sama Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Melaka (IKRAM Melaka), salah satunya penganjuran program Jejak Warisan pada 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah 2023 peringkat negeri di Masjid Al Azim, Bukit Palah, di sini, hari ini.

Se Pin yang bertugas di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh menerima Anugerah Ibnu Uraiqith yang telah disampaikan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Mengulas lanjut mengenai kebolehan bertutur, Se Pin memberitahu, dia mendapat pendidikan awal di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ping Ming di Jalan Tun Sri Lanang dan mula berkomunikasi dalam Bahasa Melayu selepas berkawan dengan beberapa rakan Melayu di dalam kelasnya.

“Mereka juga boleh berbahasa Cina, tetapi kami lebih suka bercakap dalam bahasa Melayu, malah saya dapat A dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk subjek Bahasa Melayu.

“Dari situlah saya mula minat dengan ilmu sejarah serta sastera Cina dan Melayu, saya juga mengikuti kursus rancangan pengajian jarak jauh di Universiti Sains Malaysia dengan major Sejarah dan minor dalam Sastera Melayu,” ujarnya.

Sementara itu, Mantan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Othman Muhamad diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah bagi peringkat negeri.

Beliau yang menerima Anugerah Abu Bakar As-Siddiq menerima wang tunai sebanyak RM10,000 dan sijil penghargaan.

Datuk Othman, 71 tahun, sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pegawai khas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI