fbpx

Ilmu pengekodan cungkil potensi kreatif pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SERAMAI 35 pelajar pelarian terlibat dalam program Code4TheFuture yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.

KEPEKAAN terhadap dunia digital semakin berkembang dalam kalangan kanak-kanak yang kini mempunyai akses terhadap teknologi moden.

Tambahan pula, pelbagai saluran pembelajaran dan kewujudan subjek berasaskan digital telah menjadikan generasi muda tertarik untuk mendalami segmen berkenaan.

Justeru, sempena Hari Pelarian Sedunia, sebuah sekolah pengekodan komputer yang disokong oleh Sunway Group, 42 Kuala Lumpur (42KL) telah menganjurkan program Code4TheFuture.

Ketua Pegawai Operasi 42 Malaysia, Jeff Sandhu berkata, program tersebut bertujuan memperkenalkan pengekodan serta mencetuskan rasa ingin tahu dalam kalangan pelajar pelarian.

“Program oleh 42KL dan Sunway Education Group ini menghimpunkan lebih 35 pelajar pelarian berumur 10 hingga 14 tahun.

“Semua pelajar ini daripada Pusat Latihan Kanak-Kanak (CTC) dan Project R.ED yang merupakan pusat pembelajaran khusus untuk komuniti pelarian di Kuala Lumpur.

“Di Malaysia, akses kepada pendidikan untuk kanak-kanak pelarian kekal sebagai cabaran yang ketara.

“Statistik terkini menunjukkan bahawa hanya sebilangan kecil kanak-kanak pelarian mempunyai akses kepada pendidikan formal,” katanya kepada Infiniti baru-baru ini.

Untuk makluman, CTC adalah pusat pembelajaran komuniti pelarian yang kini menyediakan pendidikan kepada lebih 200 kanak-kanak kebanyakannya dari Myanmar dan Pakistan.

Tambah Sandhu, menyedari isu mendesak itu, Code4TheFuture yang merupakan satu program perintis berusaha untuk merapatkan jurang pendidikan serta memperkasakan pelajar pelarian dengan kemahiran penting untuk era digital.

Jelasnya, program tersebut berteraskan falsafah 42KL iaitu kepercayaan tidak berbelah bahagi bahawa setiap pelajar harus mendapat akses sama kepada pendidikan berkualiti, tanpa mengira latar belakang.

Generasi muda pada hari ini perlu didedahkan dengan ilmu pengekodan untuk masa depan. – Gambar hiasan

“Dengan memperkenalkan pengekodan melalui Scratch, bahasa pengaturcaraan intuitif dan visual, kami bukan sahaja mencetus minat pelajar muda tetapi mendedahkan mereka kepada dunia teknologi,” katanya.

Kongsinya, program tersebut memupuk kemahiran insaniah yang penting seperti kerjasama, penyelesaian masalah, pemikiran kritis serta kreativiti.

“Code4TheFuture berlangsung di kampus 42KL di Sunway City Kuala Lumpur serta dibimbing oleh sukarelawan yang terdiri daripada pelajar 42KL.

“Selain mempelajari asas pengekodan, Code4TheFuture menggalakkan pelajar meneroka potensi kreatif mereka sendiri.

“Pelajar muda ini mendalami Scratch dan bekerjasama dengan rakan sebaya mereka untuk mencipta video animasi mengikut tema Code4TheFuture.

“Para pelajar perlu membayangkan dunia ideal mereka yang dipanggil Imagine a world where…,” ujarnya.

Jelasnya, program berkenaan direka untuk menyediakan pelajar dengan platform untuk menyatakan kreativiti dan idea mereka.

Scratch sebagai platform pengaturcaraan terbuka boleh diakses secara bebas. Ia membolehkan mereka mencipta cerita interaktif, animasi dan permainan serta memupuk proses pembelajaran yang boleh diteruskan secara bebas.

Sementara itu, pengasas bersama Project R.ED, Hilda Paviter Kaur berkata, Code4TheFuture melangkaui pengajaran kemahiran pengekodan.

“Pada Hari Pelarian Sedunia, kami meraikan ketabahan dan keazaman para pelajar sambil melengkapkan mereka dengan kemahiran membina sahsiah,” katanya.

Tambahnya, inisiatif itu disokong lagi oleh 13 rakan kongsi industri termasuk Sunway Group yang berkongsi misi sama.

Ia juga merupakan sebahagian daripada 42 Malaysia iaitu inisiatif pembinaan negara antara Sunway Education Group dan Khazanah Nasional Berhad.

Inisiatif tersebut berhasrat membangunkan 10,000 bakat teknologi mahir dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI