fbpx

Konsep Tabayyun pastikan penyebaran maklumat secara berhemah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadillah (dua dari kiri) melepaskan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah di Meru Raya, Ipoh hari ini. - Foto ZULFACHRI ZULKIFLI/KOSMO!

IPOH – Pengamalan konsep Tabayyun adalah penting agar suatu perkara disemak atau diperiksa terlebih dahulu sebelum ia disebarkan kepada individu lain.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dunia tanpa sempadan menjadikan perkongsian dan penyebaran maklumat dapat dilakukan dalam kiraan detik sahaja.

“Yang benar dan salah bercampur-baur dalam dunia maya sehingga adakalanya menimbulkan bibit-bibit persengketaan yang mampu menggugat ketenteraman dan keharmonian hidup rakyat berbilang kaum.

“Sehubungan dengan itu, pentingnya amalan konsep Tabayyun untuk semak atau periksa sesuatu perkara sebelum disebarkan kepada individu lain. Konsep ini secara tidak langsung melatih kita supaya lebih berhati-hati dalam membuat sesuatu kesimpulan.

“Amalan ini relevan untuk memastikan penyebaran maklumat khususnya di media sosial dilakukan dengan penuh berhemah dan berintegriti,” katanya ketika membacakan teks ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini hari ini.

Sementara itu, Fadillah berkata, sempena Bulan Kebangsaan, pelbagai program diadakan untuk menyemarakkan suasana Ogos dan September ini termasuklah Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, disusuli dengan Sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya pada 31 Ogos dan Sambutan Hari Malaysia di Sarawak pada 16 September.

“Kita telah memulakan 6,600 Langkah Perpaduan yang merupakan manifestasi rakyat dan kerajaan sentiasa bergerak ke hadapan dalam mencapai aspirasi Malaysia Madani yang bersifat inklusif dengan sokongan dan dokongan rakyat berbilang kaum,” katanya.

Beliau berkata, Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang dilancarkan hari ini akan menjelajah ke seluruh negara dengan membawa semangat kenegaraan dalam setiap derap langkah ke semua destinasi yang dituju.

“Besar harapan saya agar program ini menjadi lambang perpaduan dan persaudaraan dalam usaha menyuburkan semangat patriotik di pelbagai peringkat usia dan lapisan masyarakat.

“Saya dimaklumkan Jabatan Penerangan Malaysia telah merancang hampir 300 program cinta negara ke seluruh pelosok tanah air seperti yang telah dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital.

“Justeru, saya berharap agar kita bersama-sama mengambil peluang ini bagi menyemarakkan sambutan dan terus menggelorakan rasa cinta kita kepada negara dengan bersama-sama menyertai pelbagai program yang dianjurkan,” katanya.

Fadillah menegaskan, adalah penting semangat patriotik itu disuburkan dan sentiasa digelorakan dalam diri setiap rakyat Malaysia kerana dengan semangat patriotik akan melahirkan masyarakat yang bersatu padu. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI