fbpx

Pelakon sertai mogok terbesar, Hollywood lumpuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahli kesatuan SAG-AFTRA menyertai piket di luar pejabat Netflix di Los Angeles, California kelmarin. - AFP

LOS ANGELES, CALIFORNIA – Barisan pelakon menyertai penulis skrip untuk melancarkan mogok terbesar dalam industri hiburan di Hollywood sejak 60 tahun lalu, lapor Badan Penyia­ran Britain (BBC) semalam.

Kesatuan sekerja Screen Actors Guild (SAG-AFTRA) yang mewakili pelakon, menuntut studio perfileman dan syarikat penstriman seperti Netflix membahagikan keuntungan secara lebih adil dan mewujudkan persekitaran kerja lebih baik

Kira-kira 160,000 pekerja televisyen dan perfileman bersepakat untuk tidak bekerja bermula tengah malam kelmarin sekali gus memulakan piket tersebut.

Bintang ternama seperti Cillian Murphy, Matt Damon dan Emily Blunt nekad meninggalkan tayangan perdana filem Oppenheimer arahan Christopher Nolan di London ketika mogok bermula.

Tindakan pelakon dan pekerja sokongan industri perfileman lain termasuk penulis skrip itu menyaksikan sebahagian besar produksi filem dan program televisyen di Amerika Syarikat (AS) terhenti.

Mogok SAG-AFTRA bermula pukul 8 malam (waktu tempatan) kelmarin. Tunjuk perasaan pula diadakan pagi semalam di luar ibu pejabat Netflix di California sebelum beralih ke Paramount, Warner Bros dan Disney.

Kesatuan sekerja itu me­minta jaminan bahawa teknologi kepintaran buatan (AI) serta wajah dan suara janaan komputer tidak akan digunakan untuk menggantikan pelakon.

SAG-AFTRA juga menuntut peraturan lebih ketat mengenai uji bakat yang dirakam sendiri. Mereka percaya kaedah tersebut tidak adil kerana pelakon perlu menanggung kos uji bakat.

Menurut perintah mogok yang diterbitkan secara online oleh SAG-AFTRA, tindakan industri itu melibatkan mereka yang bekerja dalam bidang lakonan, nyanyian atau tarian, serta pelakon lagak ngeri dan pengendali boneka.

Penghentian operasi itu juga melibatkan pelbagai sektor dan tugasan promosi.

Pada Rabu lalu, SAG-AFTRA mengumumkan gagal mencapai persetujuan dengan studio-studio utama Hollywood, jus­teru pihaknya bersetuju sebulat suara mengesyorkan tindakan mogok. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI