fbpx

Russia beri amaran guna bom berangkai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail menunjukkan askar AS menyusun peluru DPICM dalam satu latihan pada 20 September 2016. - Tentera AS

MOSCOW – Menteri Pertahanan Russia, Sergey Shoigu memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa Moscow akan turut menggunakan bom berangkai dalam peperangan dengan Ukraine sekiranya Washington mengotakan janji untuk menghantar senjata tersebut kepada Kiev, lapor laman berita RT.

“Sekiranya AS membekalkan bom berangkai kepada Ukraine, Angkatan Tentera Russia terpaksa menggunakan senjata yang setara  sebagai tindak balas.

“Perlu diingatkan bahawa Russia mempunyai senjata berangkai untuk semua keadaan. Ia jauh lebih berkesan daripada apa yang AS ada dengan jarak jangkauannya adalah lebih meluas dan lebih pelbagai,” kata Shoigu.

Tambahnya, sama seperti AS dan Ukraine, Russia bukan sebahagian daripada anggota Konvensyen Senjata Berangkai.

“Bagaimanapun, Moscow telah mengelak daripada menggunakan senjata itu dalam konflik semasa kerana sedar akan ancaman penggunaan bom sedemikian kepada orang awam,” ujarnya.

Pada minggu lalu, AS mengumumkan ia akan menghantar peluru konvensional dwiguna yang ditambah baik (DPICM) yang juga dikenali sebagai bom berangkai ke Ukraine sambil mendakwa, bahaya yang dicetuskan terhadap orang awam akibat penggunaannya adalah tidak signifikan.

Sementara itu, Shoigu menegaskan bahawa AS telah memberikan pelbagai alasan untuk mewajarkan keputusan penggunaan bom berangkai termasuk menyatakan ia hampir kehabisan peluru artileri 155 milimeter (mm) konvensional.

Ia merujuk kepada apa yang dikatakan oleh Presiden AS, Joe Biden dalam temu bual dengan stesen penyiaran CNN yang disiarkan hujung minggu lalu.

Tambah beliau, tentera Rusia sudah mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi anggota dan kenderaan tentera daripada serangan bom berangkai AS.

Menurut Badan Penyiaran British (BBC), bom berangkai adalah satu kaedah untuk melepaskan sejumlah besar bom kecil daripada roket, peluru berpandu atau peluru meriam sebelum menjatuhkannya di kawasan yang luas.

Ia akan meletup apabila tiba di sasaran tetapi sebahagian besarnya tidak meletup pada peringkat awal. Keadaan itu berlaku terutamanya jika ia mendarat di tanah yang basah atau lembut.

Namun, bom-bom kecil itu kemudian boleh meletup beberapa hari kemudian apabila disentuh atau dipijak, seterusnya mampu membunuh atau mencacatkan mangsa.

Berdasarkan perspektif ketenteraan, ia boleh menjadi sangat berkesan apabila digunakan terhadap tentera darat yang berlindung di parit dan kedudukan berkubu.

Penggunaan bom berangkai dikecam oleh kumpulan-kumpulan hak asasi manusia kerana senjata itu diharamkan oleh lebih 100 negara. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI