PUTRAJAYA – Seorang rakyat Malaysia di Doha memberitahu, penduduk di situ telah menjangkakan serangan itu memandangkan Pangkalan Tentera Udara Al Udeid yang merupakan pangkalan terbesar Amerika Syarikat (AS) terletak di Qatar namun tidak menyangka ia akan berlaku dalam masa terdekat.
Muhammad Fikri Daud, 29, berkata, serangan itu sekali gus mencetuskan kebimbangan penduduk Qatar.
“Serangan ini betul-betul berlaku dan Qatar benar-benar diserang,” ujarnya.
Muhammad Fikri memberitahu, syarikat tempat dia bekerja turut menasihatinya untuk kekal berada di rumah bagi menjamin keselamatan pekerja.
“Selepas ruang udara Qatar ditutup, ramai kawan yang terkandas. Biarpun keadaan kembali normal, kami masih terkejut dan trauma,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kelmarin, sebanyak 19 peluru berpandu dilancarkan Iran dengan menyasarkan Pangkalan Udara Al Udeid.
Sementara itu, bercerita mengenai serangan, Muhammad Fikri berkata, suasana di Doha bertukar panik selepas serangan itu yang berlaku selama hampir 15 minit.
“Ramai yang terkejut dan takut. Kami turut memaklumkan situasi ini kepada keluarga di tanah air,” katanya.
Menurut pemuda itu, ketika kejadian, dia dan rakannya sedang berbual di dalam rumah pada pukul 7.30 malam waktu tempatan sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dan kediaman mereka bergegar.
“Kami segera berlari ke balkoni sebelum melihat cahaya di udara apabila dron pertahanan memintas peluru berpandu.
“Ketika itu saya hanya fikir mati berdasarkan berita-berita dibaca sebelum ini yang memaparkan ramai mangsa meninggal dunia dan cedera parah akibat dibedil peluru berpandu,” katanya. -KOSMO! ONLINE














