fbpx

Andalusia meterai MoU bersama Air Arabia, tawar pakej umrah Rahmah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ida Riswana bertukar dokumen perjanjian bersama Pengurus Serantau Air Arabia, Norazura Zaimi pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penerbangan Air Arabia di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI / KOSMO!

PETALING JAYA – Syarikat pengendali umrah dan haji, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) menawarkan pakej umrah serendah RM5,590 menerusi Pakej Rahmah 1.0 bermula bulan ini sehingga April tahun depan.

Tawaran itu diperkenalkan setelah memeterai memorandum persefahaman (MoU) buat julung kalinya bersama penerbangan kos rendah pertama (LCC) dan terbesar di Timur Tengah serta Afrika Utara, Air Arabia.

Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia, Ida Riswana Idris, berkata, menerusi MoU ini, hampir 5,000 tempat duduk umrah serta pelancongan dari Air Arabia dimeterai pembelian bernilai hampir RM15 juta.

Ujarnya, dengan menyasarkan seramai 300 jemaah umrah bagi satu musim, tempat duduk bagi bulan ini dan Ogos untuk Pakej Rahmah 1.0 sudah pun habis dijual manakala 50 peratus tempat duduk pada bulan September telah mula dibeli oleh bakal jemaah.

“Bagi Pakej Rahmah 1.0 di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini, dia lebih kurang sama dengan pakej ekonomi Andalusia. Tetapi bezanya kerana ia disyaratkan kepada mereka yang pertama kali mengerjakan umrah sahaja.

“Selain dari itu, dengan kerjasama bersama Air Arabia yang menjual tiket harga mampu milik, Andalusia dapat mengurangkan kos pakej umrah sehingga serendah RM6,990 sahaja.

“Kami percaya Air Arabia bakal pesat membangun di rantau Asia tidak lama lagi kerana perkhidmatannya menjangkau 170 destinasi di 50 buah negara di seluruh dunia,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penerbangan Air Arabia Bagi Musim Umrah 1445H di Hotel Seri Pacific, di sini, hari ini.

Jelasnya lagi, Pakej Rahmah 1.0 ini akan dibuka pada bulan-bulan tertentu sahaja iaitu ketika tiada penerbangan penuh dilakukan.

Sementara itu, dalam program CSR lain, pihak Andalusia turut menaja kira-kira 500 orang asnaf pada setiap musim bagi merealisasikan impian mereka menjalankan ibadah umrah di Tanah Suci Mekkah secara percuma.

Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin berkata, pemilihan amat ketat akan dibuat oleh pihak berkuasa seperti Pejabat Agama Daerah, Pejabat Menteri Besar Negeri Pahang dan Kementerian Pelancongan bagi menyaring mereka yang benar-benar layak sahaja.

“Antara syaratnya adalah pendapatan bawah RM800, berusia 60 tahun ke atas, belum pernah pergi umrah dan anak-anak tidak mampu hantar.

“Kebanyakan golongan asnaf yang dapat, mereka memang terkejut sebab mereka tidak pernah memohon apa-apa. Sememangnya pemilihan itu bukan daripada pihak Andalusia sendiri.

“Ini merupakan satu hadiah istimewa dan berharga buat mereka daripada pihak Andalusia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI