fbpx

KPDN belum terima aduan isu tukar label beras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salahuddin menyampaikan Bakul Rahmah kepada penerima OKU pada pelancaran Inisiatif Payung Rahmah bersama Jaya Grocer dan Grab Malaysia di KL East Mall, hari ini. - Foto oleh FAUZI BAHARUDDIN / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) setakat ini belum menerima sebarang aduan berhubung isu penukaran label kampit beras tempatan kepada kampit beras import yang dilaporkan baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, isu beras terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Kawalselia Padi dan Beras (KPB).

“Dalam isu ini, kita masih lagi menunggu aduan dan setakat ini, masih belum ada aduan diterima. Jika ada aduan diterima, kita akan lihat perkara ini.

“Setakat ini, kita tidak dapat lagi bukti perkara ini (tukar label beras tempatan kepada import) berlaku,” katanya kepada pemberita pada pelancaran Inisiatif Payung Rahmah bersama Jaya Grocer dan Grab Malaysia di KL East Mall di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata KPDN dan KPKM akan meneruskan kolaborasi bagi memantau isu berkenaan, malah kedua-dua kementerian turut berbincang mengenainya pada mesyuarat Kabinet semalam.

“Pastinya kita akan memantau dan buat sesuatu termasuk mengambil tindakan jika aduan itu didapati benar. Pada masa sama, KPKM juga menjalankan Op Beras Putih dalam usaha memantau isu ini,” jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan segelintir pemborong beras didakwa cuba memanipulasi harga kawalan ditetapkan kerajaan dengan menukar kampit beras tempatan kepada kampit beras import bagi mengaut keuntungan besar. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI