fbpx

Isu bakar suar: FAM denda JDT RM120,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyokong JDT telah membakar suar pada tiga aksi Liga Malaysia awal musim ini.

PETALING JAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengenakan hukuman denda berjumlah RM120,000 ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) susulan tindakan penyokong menyalakan suar di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada saingan Liga Malaysia musim ini.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, surat hukuman denda bagi kesalahan-kesalahan tersebut sudah dihantar ke pengurusan JDT pada 31 Mei untuk memaklumkan keputusan yang diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM.

“Bagi perlawanan Liga Super melibatkan JDT lwn Sabah FC pada 31 Mac, JDT telah didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya melakukan pembakaran suar dalam anggaran sebanyak 10 unit dan didenda tambahan RM10,000 kerana JDT telah didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong.

“Seterusnya, bagi aksi JDT lwn Kedah Darul Aman FC pada 9 April, JDT telah didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya membakar suar secara serentak dengan jumlah lebih kurang 30 unit dengan didenda RM10,000 kerana JDT telah didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong.

“Sementara bagi perlawanan Piala FA melibatkan JDT lwn PDRM FC pada 14 April, JDT telah didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya menyalakan 29 unit suar secara serentak dan didenda RM10,000 kerana JDT telah didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong.

“Dengan pemakluman ini, diharap ia dapat memberi penjelasan kepada umum bahawa tindakan dan hukuman telah pun diambil oleh FAM bagi kesalahan membakar dan menyalakan suar yang sememangnya masih dikuatkuasakan dalam Kod Tatatertib FAM,” kata Noor Azman.

Meskipun terpalit dengan isu tersebut, skuad Harimau Selatan kendalian Esteban Solari masih ampuh dengan mendahului carta Liga Super selepas merekodkan 15 kemenangan berturut-turut musim ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI