fbpx

2 juta penduduk dapat manfaat LRT3 operasi Mac 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony Loke (tiga kiri) ketika mencuba laluan percubaan LRT3 di Johan Setia. Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!

KLANG – Lebih 2 juta penduduk dari koridor barat Lembah Klang akan mendapat manfaat menerusi operasi projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dijangka beroperasi pada 1 Mac 2025.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, LRT3 itu mempunyai 20 stesen bagi pengguna dari Petaling Jaya dan Shah Alam ke daerah ini.

Katanya, dua stesen LRT3 iaitu Bandar Utama dan Glenmarie masing-masing akan menghubungkan kepada perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Kajang serta laluan LRT Kelana Jaya.

“Koridor barat ini adalah kawasan padat dengan penduduk dan pembangunannya. LRT3 ini akan mempunyai 22 set tren baru yang boleh mengangkut 18,630 penumpang setiap jam setiap hala.

“Setakat ini, kemajuan mencapai 86 peratus dan bakal beroperasi dalam tempoh 18 atau 19 bulan lagi iaitu 1 Mac 2025,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Menurut Anthony Loke, kos projek LRT3 melibatkan perbelanjaan kira-kira RM16 bilion dan akan meningkatkan sistem pengangkutan awam di Lembah Klang.

Ujarnya, tren-tren yang digunakan juga mengaplikasikan teknologi hijau agar lebih mesra alam selain lebih selesa daripada sebelumnya.

“(Koc wanita), kita akan merancangkan perkara tersebut nanti,” katanya.

Mengulas mengenai cadangan kerajaan negeri sebelum ini agar jajaran rel diperluaskan sehingga Selangor Utara melibatkan Kuala Selangor dan Sabak Bernam, Anthony menjelaskan, perkara itu dilakukan secara berfasa berikutan rancangan pembangunan rel akan mengambil masa tertentu.

“Selangor memang padat membangun, kita percaya sistem pengangkutan rel akan terus dibangun dan diperkembangkan ke lebih banyak tempat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI