fbpx

Pelakon Hollywood ancam mogok, industri filem berisiko lumpuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IKLAN Netxflix kelihatan di Sunset Blvd, Los Angeles pada 2 Mei lalu. -- AFP

LOS ANGELES, California – Ketidakpuasan hati di Hollywood dijangka meningkat secara drama­tik hujung minggu ini dengan barisan pelakon bersiap sedia menyertai penulis dalam ‘mogok berkembar’ besar-besaran yang bakal menyaksikan hampir semua penerbitan tele­visyen dan filem di Amerika Syarikat lumpuh.

Kesatuan sekerja Screen Actors Guild (SAG-AFTRA) terlibat dalam rundingan bersama rangkaian seperti Netflix dan Disney yang menghampiri tarikh akhir pukul 3 petang esok (waktu Malaysia).

Kesatuan sekerja AS itu mewakili lebih 160,000 pekerja te­levisyen dan perfileman. Mereka sepakat untuk mogok sekiranya persetujuan gagal dicapai antara kedua-dua belah pihak dalam waktu yang ditetapkan.

Jika situasi terus buntu, ia akan menyaksikan kali pertama pelakon dan penulis Hollywood mogok bersama-sama sejak 1960 apabila aktor, Ronald Reagan mengetuai protes yang memaksa studio-studio perfileman utama bertolak ansur.

Seperti juga penulis, pelakon Hollywood menuntut bayaran lebih tinggi untuk menangani kenaikan tinggi inflasi bagi menjamin masa depan mereka.

Pelakon drama Better Things dan siri komedi Shameless, Rebecca Metz berkata, sukar untuk pelakon menyara kehidupan di Hollywood pada masa ini termasuk mereka yang sudah lama bertapak dalam dunia lakonan.

“Mereka yang bukan dalam industri ini menganggap pelakon yang muncul di kaca televisyen semestinya kaya.

“Namun, keadaan bukan begitu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Saya mengenali ramai pelakon seperti saya yang melakukan dua pekerjaan untuk menyara kehidupan,” kata Metz.

Selain gaji, pelakon juga mendapat imbuhan dikenali sebagai bayaran ‘residual’ setiap kali filem atau program yang mereka bintangi ditayangkan. Bayaran itu banyak membantu ketika pelakon mencari projek baharu selepas projek lama selesai.

Namun, pada masa ini, studio penstriman seperti Netflix and Disney+ tidak mendedahkan jumlah tontonan untuk program atau filem yang ditayangkan serta menawarkan bayaran yang sama kepada pelakon tanpa mengira populariti filem atau program te­levisyen dibintangi mereka.

“Saya melihat bayaran residual saya menjunam,” kata Metz.

Masih belum jelas sama ada mogok tersebut akan dilancarkan kerana kedua-dua pihak tidak mendedahkan perkembangan rundingan kepada media.

Sebelum ini, kumpulan penulis telah melancarkan mogok yang menyaksikan bilangan filem dan program televisyen berkurang secara dramatik, manakala penyer­taan pelakon akan melumpuhkan industri Hollywood.

Sesetengah siri realiti televisyen dan program bual bicara masih boleh diteruskan tetapi acara berprofil tinggi seperti Anugerah Emmy pada 18 September ini akan berisiko terjejas.

Siri popular yang dijadualkan kembali ke kaca televsiyen atau penstriman seawal musim luruh tahun ini akan ditangguhkan dengan nasib serupa boleh me­nimpa filem-filem ‘blockbuster’.

Isu lain yang membimbangkan pelakon adalah kepintaran buatan (AI). Mereka mahukan jaminan penggunaan AI dikawal selia pada masa hadapan.

“Pada masa ini kami tidak dilindungi sekiranya penerbit mengambil suara atau imej kami,” kata Metz.

Pelakon turut bimbang tentang ‘rakaman ujibakat sendiri’ .

Digunakan sebelum pandemik Covid-19 apabila ujibakat secara langsung tidak dapat dilakukan, kaedah itu menjadi semakin meluas di Hollywood.

Kaedah itu meletakkan beban logistik dan teknologi kepada pelakon tanpa mereka mendapat maklum balas daripada pengarah berkaitan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI