fbpx
Lelaki yang berperwatakan lembut sering dilabel sebagai pondan. - GAMBAR HIASAN

‘Saya bukan pondan cuma lemah lembut sahaja’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – “Saya sering diejek rakan-rakan lelaki di sekolah yang menyamakan diri saya seperti seorang pondan kerana mempunyai personaliti lemah lembut.”

Itu keluhan seorang pelajar sekolah yang mahu dikenali sebagai Abdul,17, yang hilang keyakinan diri untuk bergaul dengan rakan-rakan lelaki selepas menjadi mangsa buli.

Disebabkan itu, katanya, dia lebih gemar berkawan dengan rakan-rakan perempuan yang lebih memahami dirinya.

“Sejujurnya, saya memang mempunyai watak sopan dan lemah lembut, itu personaliti sebenar saya, tetapi saya bukan pondan.

“Kawan-kawan lelaki sering mempersendakan hal itu termasuk cara saya berjalan, bercakap dan bergaul. Keadaan ini membuatkan saya tertekan,” katanya kepada Kosmo!.

Seorang guru yang dikenali sebagai Razie pula berkata, budaya buli kini semakin menjadi-jadi dan ramai pelajar sering menjadi mangsa terutamanya mereka yang mempunyai bentuk fizikal tidak menarik.

Bercerita tentang hal itu, katanya, seorang pelajar perempuan tingkatan empat di sekolahnya turut menjadi mangsa buli kerana berbadan gemuk sehingga dipulaukan rakan-rakan lain.

“Kejadian buli itu bermula selepas seorang pelajar perempuan lain yang tidak mempunyai ramai kawan cemburu dengan mangsa yang mempunyai ramai rakan. Mangsa juga seorang yang peramah serta pandai menyanyi.

“Jadi, kerana mahukan perhatian, pembuli itu mengambil kesempatan dengan mengejek fizikal mangsa di media sosial selain turut mengajak rakan-rakan lain membuat hal yang sama,” ujarnya.

Ekoran kejadian itu, katanya, mangsa berdepan masalah psikologi sehingga tidak lagi mahu membuat persembahan nyanyian di sekolah selain prestasi akademik turut merundum.

“Jadi, sebagai guru saya menasihati dia untuk bangkit semula kerana pembuli hanya mahukan perhatian orang lain ekoran tidak mempunyai apa yang dapat dibanggakan seperti bakat nyanyian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN