fbpx

Mahkamah: 27 Julai keputusan pengesahan lafaz cerai Hafidz – Shuhada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shuhada ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini. -Foto AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini menetapkan 27 Julai ini bagi keputusan pengesahan lafaz cerai luar mahkamah pelakon Hafidz Roshdi terhadap isterinya Shuhada.

Hakim Syarie Siti Rahmah Hussin menetapkan tarikh itu selepas Hafidz, 29, selaku plaintif dan Shuhada, 29, selesai memberi keterangan pada perbicaraan hari ini.

Semasa prosiding, hakim syarie itu turut memerintahkan kedua-dua belah pihak memfailkan hujahan dan afidavit balasan dua minggu sebelum tarikh keputusan kes.

Dalam prosiding hari ini Hafidz diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Syuhada diwakili peguam syarie Nurfarhana Abd. Manaf.

Pada prosiding sebelum ini, mahkamah telah menetapkan hari ini sebagai perbicaraan pengesahan lafaz cerai itu.

Ini kerana Akberdin ketika prosiding lalu memaklumkan terdapat isu berhubung lafaz cerai luar mahkamah yang didakwa berlaku sebanyak dua kali dan Nurfarhana tidak membantah untuk kes itu dibicarakan.

Akberdin memaklumkan Shuhada mendakwa suaminya ada melafazkan cerai lebih awal melalui aplikasi WhatsApp pada Januari lalu.

Menurut peguam syarie itu, pihaknya terkejut apabila melihat tuntutan balas kononnya Hafidz ada melafazkan cerai lebih awal iaitu pada 22 Januari lalu, sedangkan dalam permohonan cerai lafaz itu dibuat pada 22 Februari.

Kes penceraian itu dibuat mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Shuhada atau nama sebenarnya Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, memfailkan perceraian di mahkamah itu pada 27 Februari lalu, susulan keputusan dan persetujuan kedua-dua keluarga.

Untuk rekod, Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi , 29, dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2 tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI