KUALA LUMPUR – Terdapat pelbagai laporan menyebut mengenai isu aset tergantung yang dianggarkan berjumlah RM70 bilion di negara ini sejak dua tahun lalu, sebahagian besar daripadanya adalah milik umat Islam.
Ramai melihat jumlah harta yang banyak ini berpunca daripada ruang pentadbiran dan pembahagian harta pusaka yang kompleks, lebih-lebih lagi apabila si mati tidak menyiapkan surat wasiat atau dokumen bertulis sebelum kematian.
Bagi memenuhi keperluan ini, Maybank Islamic Bhd. dengan kerjasama syarikat teknologi kewangan, CreateWills Sdn. Bhd. melancarkan EzyWasiat, iaitu perkhidmatan penulisan wasiat yang inovatif dan efisien untuk umat Islam di Malaysia.
Platform EzyWasiat dibangunkan mengikut model bantuan unik yang mana pelanggan akan dibantu secara langsung oleh penasihat pengurusan kekayaan patuh Syariah atau pengurus hubungan yang akan menggabungkan algoritma faraid untuk memudahkan proses penulisan wasiat.
Orang ramai hanya perlu menyediakan dokumen yang betul dan dengan bayaran serendah RM600, penulisan wasiat mereka boleh disempurnakan dalam masa 30 minit.
Perkhidmatan digital baharu ini akan membolehkan pelanggan merancang dan menyiapsediakan wasiat mereka dengan lebih cekap dan teratur, selaras dengan syariah dan undang-undang faraid.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, pelancaran EzyWasiat adalah selaras dengan aspirasi bank untuk membangunkan penyelesaian baharu dan inovatif yang dapat memberikan impak positif kepada komuniti secara meluas.
“Produk ini disasarkan kepada umat Islam dan tidak hanya terhad kepada mereka yang sudah lama berniat untuk menyediakan wasiat tetapi terhalang sama ada disebabkan oleh faktor kerumitan proses, kos atau kurangnya kemudahan.
“Kami kekal komited untuk menerajui perbankan patuh Syariah bukan sahaja di rantau ini malah serata dunia dan berbekalkan jalinan perkongsian pintar.
“Kami berada pada kedudukan yang strategik untuk membuka jalan ke arah fasa pertumbuhan kewangan Islam yang seterusnya,” katanya pada majlis pelancaran baru-baru ini.
Mohamed Rafique menambah, EzyWasiat juga mempunyai potensi untuk dikembangkan di pasaran Maybank Islamic yang lain.
“Dari segi pengurusan harta Islam, kami mempunyai kedudukan bukan sahaja di Malaysia. Jadi, aspirasi kami adalah supaya dapat menyediakan perkhidmatan ini kepada negara lain di ASEAN dan seterusnya.
“Kami berhasrat meraih 50,000 pelanggan untuk menggunakan perkhidmatan penulisan wasiat ini dalam tempoh 12 bulan akan datang,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE














