fbpx

Chong Wei sesuai ganti Choong Hann

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHONG WEI memiliki pengalaman besar sebagai pemain perseorangan lelaki dan sesuai untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Choong Hann.

LEGENDA badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei dianggap calon paling sesuai untuk mengisi kekosongan jawatan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Bekas pemain beregu emas negara, Tan Boon Heong percaya pengalaman serta kepakaran yang dimiliki Chong Wei amat diperlukan dalam membantu pemain perseorangan mencapai potensi masing-masing.

Beliau juga menganggap, pertukaran individu untuk jawatan tersebut bukanlah satu perkara negatif memandangkan Choong Hann turut memberi nafas baharu kepada skuad perseorangan lelaki kebangsaan sejak dilantik pada 2018.

“Bukan sesuatu yang buruk apabila tukar orang baharu kerana sudah lima tahun beliau (Choong Hann) di situ dan sudah terbukti ada keputusan positif. Saya fikir, individu baharu yang masuk nanti akan ada lebih banyak ruang untuk memperbaiki kelemahan.

“Calon paling sesuai saya lihat ketika ini adalah Datuk Lee Chong Wei. Tukar lebih baik daripada tidak buat apa-apa kerana orang baharu sudah tentu nampak masalah kita, jadi boleh diperbaiki segera,” katanya pada majlis pelancaran kejohanan rasmi pertama 3V3 TotalEnergies x Li-Ning Cup 2023 untuk pemain bukan profesional di Putrajaya, semalam.

Terdahulu, arena badminton negara dikejutkan dengan keputusan Choong Hann untuk meletakkan jawatan beliau sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan ABM yang disandang hampir lima tahun lalu.

Ia juga meletakkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam situasi sukar kerana perlu mencari pengganti dengan kadar segera bagi memastikan ia tidak memberi kesan besar terhadap skuad perseorangan negara.

Dalam pada itu, keputusan Choong Hann meninggalkan badan induk berkenaan dianggap sebagai tamparan hebat buat BAM selepas Michelle Chai turut melepaskan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ABM bulan lalu diikuti Pengarah Prestasi Tinggi, Dr. Tim Jones. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI