fbpx

Bapa mengaku bersalah amang seksual, rogol anak kandung hingga hamil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh seorang bapa mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal dan merogol anak kandungnya sejak 2020 dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Muar hari ini.

MUAR – Seorang bapa mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal serta merogol anak kandungnya sehingga hamil di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Tertuduh yang berusia 41 tahun yang bekerja kampung dihadapkan ke mahkamah atas lapan pertuduhan termasuk satu kes amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya berusia 15 tahun sejak 2020.

Tertuduh membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat sebaik semua pertuduhan dibaca jurubahasa.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anaknya pada waktu malam tahun 2020 di sebuah rumah di Semerah, di sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan juga sebatan.

Bagi pertuduhan kedua hingga kelapan, tertuduh didakwa merogol anak kandungnya itu sejak Oktober 2020 sehingga 5 Jun lalu dengan semua kejadian berlaku di rumah yang sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan juga 10 sebatan.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa melakukan perbuatan terkutuk tersebut ketika ketiadaan ahli keluarganya di rumah.

Kejadian itu hanya terbongkar selepas sesi pemeriksaan kesihatan dijalankan di sekolah mangsa dan mendapati berlaku perubahan fizikal pada tubuhnya.

Mangsa ketika itu tidak mengetahui dia mengandung sebelum membuat laporan polis terhadap tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sulehan Abd Rahman kemudian meminta mahkamah menetapkan satu tarikh bagi membolehkan pihaknya mendapat laporan DNA (asid deoksiribonukleik), laporan perubatan dan rekod jenayah lampau tertuduh.

Pihak pendakwaan juga tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dan mahkamah menetapkan 16 Julai ini sebagai sebutan semula kes berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI